CHINA Eastern Airlines menyambung semula penerbangan pesawat Boeing semalam selepas beberapa minggu operasi dihentikan berikutan tragedi pesawat yang membawa 132 terhempas.
Penerbangan MU5843 berlepas dari bandar barat daya Kunming pada 9.58 pagi waktu tempatan dan mendarat di Chendu pada 11.03 pagi, menurut Flightradar.com.
Pesawat berusia tiga tahun itu kemudiannya kembali ke Kunming dari Chendu dengan penerbangan lanjut dijadualkan esok.
Penerbangan MU5735 dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou terjunam sebelum terhempas pada 21 Mac lalu.
Pesawat itu jatuh 20,000 kaki (6,096 meter) dalam masa lebih seminit. Kelajuan hentaman menyebabkan barang-barang penumpang bertaburan di kawasan hutan.
Punca nahas pesawat yang paling maut di China dalam tempoh lebih 30 tahun itu masih belum diketahui.
Kemalangan itu menyebabkan China Eastern menghentikan semua pesawat 737-800 miliknya untuk pemeriksaan keselamatan ketika pihak berkuasa penerbangan berikrar akan melakukan pemeriksaan menyeluruh dua minggu ke atas pesawat berkenaan.
Pihak berkuasa sudah mendapatkan kedua-dua kotak hitam dari pesawat yang jatuh yang kini sedang dianalisis di makmal Amerika dengan bantuan penyiasat kerajaan Amerika Syarikat.
Laporan siasatan awal akan disiapkan dalam tempoh 30 hari selepas nahas itu, kata kerajaan sebelum ini.
Penyambungan semula penerbangan 737-800 China Eastern semalam dibuat ketika Boeing menunggu kelulusan untuk menyambung semula operasi varian MAX 737 di China, pasaran utama terakhir yang belum memberi lampu hijau.
737 MAX digantung sementara di seluruh dunia berikutan dua nahas di Indonesia dan Ethiopia yang mengorbankan 346 pada 2018 dan 2019. – AFP, 18 April, 2022.
Komen