Ukraine janji berjuang bermatian di Mariupol


Tentera Russia menyerang bangunan kediaman di bandar pelabuhan Mariupol. Ukraine berkata ia akan mempertahankan bandar itu. – Gambar EPA, 18 April, 2022.

UKRAINE berkata akan berjuang habis-habisan mempertahankan bandar pelabuhan Mariupol walaupun pasukan tenteranya di situ diminta supaya menyerah diri oleh Russia.

Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal menerusi program This Week terbitan ABC News, menegaskan bandar itu masih belum ditawan Russia.

“Masih ada pasukan tentera kita, askar kita. Jadi mereka akan berjuang hingga ke akhirnya,” katanya beberapa jam sebelum Moscow menggesa tentera Ukraine di sekitar kilang keluli di Mariupol menyerah diri.

Pada masa ini, Moscow mengalihkan tumpuan ketenteraannya untuk menguasai wilayah timur Donbas dan berusaha mendapatkan kembali koridor di semenanjung Crimea.

Kementerian pertahanan Russia berkata 400 askar Ukraine termasuk tentera upahan berada di dalam kilang keluli Azovstal dan menggesa mereka meletakkan senjata serta menyerah diri untuk menyelamatkan nyawa.

Moscow mendakwa Kyiv mengarahkan pejuang batalion nasionalis Azov untuk menembak terus sesiapa yang mahu menyerah.

Sementara itu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata jika tentera Russia membunuh tentera Kyiv yang masih berbaki untuk mempertahankan bandar itu, proses rundingan yang baru dibuat untuk menamatkan pertempuran selama hampir dua bulan itu akan ditamatkan.

Presiden Russia Vladimir Putin sebelum ini berkata rundingan itu tidak berhasil dengan kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk menggesa tentera Russia membenarkan proses memindahkan penduduk dari Mariupol.

Mariupol menjadi simbol pertempuran sengit Ukraine sejak tentera Russia melancarkan serangan ke atas bekas negara Soviet itu pada 24 Februari lalu. – AFP, 18 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen