JUMLAH kematian dalam tragedi banjir yang melanda pantai timur Afrika Selatan meningkat melebihi 440 orang setakat semalam.
Pihak berkuasa melaporkan setakat ini, 443 mangsa termasuk dua polis kecemasan meninggal dunia akibat bencana di wilayah Kwazulu-Natal.
Kebanyakan mangsa terkorban adalah di Durban, iaitu bandar pelabuhan dan hab ekonomi utama negara itu.
Sekurang-kurangnya 63 lagi masih hilang dan pihak berkuasa mengerahkan pasukan keselamatan melakukan segera operasi mencari dan menyelamat susulan hujan dan ribut semakin reda.
Hujan lebat serta angin kencang yang mula melanda kawasan pantai timur Afrika Selatan sejak hujung minggu lalu, mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh sehingga menghanyutkan rumah, merosakkan bangunan, infrastruktur sekali gus menjejaskan bandar Durban dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Sosial Hendrietta Bogopane-Zulu berkata kira-kira 340 pekerja sosial dikerahkan untuk menyediakan sokongan kepada mangsa yang terselamat dan masih trauma, dengan ramai yang masih kehilangan anak dan saudara mara.
Sebahagian bandar itu juga terputus bekalan air sejak Isnin selepas banjir memusnahkan infrastruktur.
Selain itu, puluhan hospital dan lebih 500 sekolah musnah akibat kejadian itu. – AFP, 18 April, 2022.
Komen