Pengeluaran khas KWSP mula dikreditkan esok, kata Tengku Zafrul


Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ramai yang menghantar mesej dan memberi komen dalam akaun media sosialnya meminta supaya dipercepatkan pengeluaran wang KWSP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2022.

PENGELUARAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 akan diawalkan kepada 18 April, 2022 daripada 20 April yang diumumkan sebelum ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pengeluaran tersebut akan mula dikreditkan secara berperingkat mulai Isnin (18 April).

“Ramai yang menghantar mesej dan memberi komen dalam akaun media sosial saya dan berkata: “YB (Yang Berhormat)...pengeluaran KWSP boleh dipercepatkan tak?”.

“Saya mendengar suara anda. Oleh itu, selepas berbincang dengan KWSP, justeru itu sukacita dimaklumkan bahawa pengeluaran khas KWSP akan dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April, 2022 dan bukannya 20 April, 2022 seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Permohonan pengeluaran khas tersebut mula dibuka pada 1 April lepas manakala tarikh akhir permohonan adalah pada 30 April, 2022. 

Tengku Zafrul berharap pengeluaran tersebut akan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri #KeluargaMalaysia.

Beliau juga turut berkata wang tersebut dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat Malaysia.

Kerajaan baru-baru ini telah membenarkan ahli KWSP di bawah usia 55 membuat pengeluaran dana persaraan mereka sebanyak RM10,000 buat kali terakhir.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lepas dalam satu sidang media khas berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemohon boleh menyemak status permohonan pengeluaran khas dari semasa ke semasa di portal Pengeluaran Khas - https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/. – Bernama, 17 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen