PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky berkata situasi di Mariupol sangat “tidak berperikemanusiaan,” menggesa Barat segera beri bantuan senjata berat.
Seruan itu dibuatnya berikutan dakwaan Rusia menguasai hampir semua bandar pelabuhan strategik tersebut selain menggesa pasukan keselamatan bandar itu serah diri.
Moscow berkata tentera Ukraine di bandar itu perlu letak senjata menjelang Ahad, selepas Rusia perbaharui serangan di Kyiv yang sejak beberapa minggu reda dan tenang.
Canselor Austria, pemimpin Eropah pertama yang bertemu dengan Vladimir Putin secara peribadi sejak pencerobohan bermula, berkata beliau berpendapat presiden Rusia “percaya beliau sedang memenangi perang” di Ukraine.
Bagaimanapun di selatan, bandar Mariupol yang musnah telah menjadi simbol penentangan sengit Ukraine yang tidak dijangka sejak tentera Rusia menyerang bekas negara Soviet itu pada 24 Februari.
Pegawai Moscow kini berkata mereka berada dalam kawalan penuh di sana, walaupun pejuang Ukraine masih bersembunyi.
“Keadaan di Mariupol kekal teruk. Tidak berperikemanusiaan,” kata Presiden Zelensky dalam ucapan video.
“Rusia sengaja cuba musnahkan semua orang yang berada di sana.”
Menteri Transformasi Digital Ukraine Mykhailo Fedorov berkata bandar itu berada di “ambang malapetaka kemanusiaan” dan memberi amaran negara itu sedang mengumpulkan bukti kekejaman Rusia di sana.
“Kami akan serahkan segala-galanya kepada The Hague,” katanya.
Moscow pada Sabtu mengeluarkan kata dua kepada pejuang, menggesa mereka letak senjata pada pukul 6.00 pagi waktu Moscow dan mengosongkan kawasan itu sebelum pukul 1.00 pagi.
Tetapi dengan pasukan Rusia semakin dekat, Zelensky mengeluarkan amarannya sendiri.
“Penyingkiran tentera kami, anggota kami (di Mariupol) akan menamatkan sebarang rundingan,” kata Zelensky kepada laman web berita Ukrainska Pravda.
“Kami tidak berunding sama ada wilayah kami mahupun rakyat kami.” – AFP, 17 April, 2022.
Komen