Zelensky ulangi amaran tentang senjata nuklear Rusia


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengulangi amarannya sebelum ini yang menggesa agar dunai berhati-hati dengan kemungkinan penggunaan senjata nuklear oleh Rusia. – Gambar EPA, 17 April, 2022.

DUNIA harus bersedia dengan kemungkinan penggunaan senjata nuklear oleh Rusia, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky kepada wartawan Sabtu, mengulangi amaran awal.

“Kita tidak sepatutnya tunggu Rusia buat keputusan untuk guna senjata nuklear,” katanya dalam wawancara dengan media Ukraine.

“Kita perlu bersedia.”

Katanya, ubat antiradiasi dan tempat perlindungan serangan udara antara yang diperlukan, dan orang Rusia boleh guna apa-apa sahaja jenis senjata.

Temu bual itu disampaikan oleh enam laman web berita Ukraine dan juga disiarkan oleh pejabat presiden Ukraine di Telegram.

Zelensky telah memberi amaran dunia perlu bimbang tentang ancaman oleh Putin, mengulangi komen pengarah CIA William Burns.

Pada Khamis Burns berkata kemunduran medan perang Rusia menimbulkan risiko yang Presiden Rusia Vladimir Putin boleh menggunakan senjata nuklear taktikal, antara lain.

Kremlin berkata ia telah meletakkan pasukan nuklear Rusia dalam keadaan berjaga-jaga sejurus selepas serangan bermula pada 24 Februari, namun Amerika Syarikat berkata ia tidak melihat sebarang tanda pergerakan nuklear yang luar biasa.

Moscow telah berkata ia akan menggunakan senjata nuklear ke atas Ukraine dalam kes “ancaman wujud” terhadap Rusia, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov memberitahu CNN dalam wawancara baru-baru ini. – AFP, 17 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen