KELEMAHAN tadbir urus dan kurangnya integriti di Malaysia menjadi sebab utama mengapa sebahagian besar ekonomi dan kerajaan dikuasai kartel, kata penganalisis.
Tanpa semak dan imbang, kartel akan terus berleluasa sehingga memudaratkan negara dan rakyat, dan jika tidak dikawal akan merosakkan masa depan generasi akan datang, tambah mereka.
Penyelidik Dr Rais Hussin dari badan pemikir Emir Research berkata isu kartel di Malaysia wujud sejak 80-an lagi.
“Institusi kerajaan sudah lama terjejas sejak berdekad lalu.
“Reputasi kerajaan sangat baik pada tahun 60-an dan 70-an. Kemudian mula merosot apabila masuk ke tahun 80-an, dan sekarang amalan rasuah sudah menular menjadi budaya. Anda akan dipinggirkan kalau tidak ikut mengamalkannya,” Rais memberitahu The Malaysian Insight.
Kartel didakwa wujud dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen serta monopoli tender kerajaan dan import daging halal.
Pada Disember 2020 negara digemparkan dengan pembongkaran skandal daging haram yang ditukar kepada halal, membabitkan pegawai kerajaan dari pelbagai agensi yang menerima rasuah.
Manakala pada Mac tahun lalu, Abdul Hamid Bador ketika itu ketua polis negara mendedahkan kewujudan kartel dalam PDRM untuk menguasai jawatan penting dengan menjatuhkan pegawai atasan.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada Februari lalu berkata hasil siasatan berdasarkan keterangan saksi dan dokumen yang diperolehi, kewujudan kartel seperti yang didakwa Hamid itu tidak dapat disahkan.
Pada April tahun yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan satu sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan dengan nilai projek RM3.8 bilion sejak tujuh tahun lalu berjaya ditumpaskan.
Kartel terbabit dikatakan memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dan ketua sindiketnya mengawal lebih 150 buah syarikat, kata SPRM dalam kenyataan.
Kemudian pada Disember lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pula mendedahkan kewujudan kartel Jabatan Imigresen membabitkan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Hamzah berkata kartel ini menggunakan pegawai pelbagai peringkat untuk bekerjasama dengan sindiket luar.
Mengulas lanjut, Rais berkata isu kartel akan terus membarah jika tiada perubahan dilakukan dalam institusi kerajaan.
“Kita mesti merombak, melakukan proses semak dan imbang dan meletakkan individu yang tepat di tempat yang sewajarnya. Jika tidak masalah ini tidak akan selesai.
“Perlu ada sistem, kena bersungguh-sungguh. Dengan adanya Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), kita ada kaedah dan cara untuk mengautomatikkan proses tender.
“Dengan adanya sistem, kecenderungan untuk melakukan rasuah atau kartel akan berkurang.
“Sukar untuk hapuskan kartel dalam sekelip mata, apa yang penting ialah penambahbaikan secara berterusan,” katanya. – 19 April, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen