RUSSIA melancarkan serangan udara ke atas Kyiv semalam ketika Presiden Volodymyr Zelensky memberi amaran rundingan damai dengan Moscow akan dibatalkan jika tentera Ukraine di bandar pelabuhan yang dikepung di Mariupol terbunuh.
Pertumpahan darah terbaru di ibu negara Ukraine dan tekanan semakin meningkat ke atas Mariupol berlaku apabila canselor Austria, pemimpin Eropah pertama yang bertemu dengan Vladimir Putin secara peribadi sejak pencerobohan bermula dilaporkan berkata, beliau berpendapat presiden Russia itu “percaya menang perang”.
Serangan terbaru ke atas Kyiv menamatkan minggu yang agak tenang di bandar itu.
Kepulan asap dari daerah Darnyrsky di tenggara ibu negara itu seperti dikatakan Moscow sebagai serangan jarak jauh berketepatan tinggi terhadap sebuah kilang senjata, menyebabkan seorang terbunuh dan beberapa yang lain cedera.
Sejumlah anggota polis dan tentera turut dikerah ke sekitar kawasan kilang yang mengalami kerosakan teruk itu.
“Pasukan kami melakukan segala yang mungkin untuk melindungi keselamatan semua, tetapi musuh adalah berbahaya dan kejam,” kata Datuk Bandar Kyiv Vitali Klitschko.
Serangan itu berlaku sehari selepas serangan sama ke atas loji menghasilkan peluru berpandu Neptune, jenis yang menurut Kyiv dan Washington, menenggelamkan kapal utama Laut Hitam Russia, Moskva pada Khamis lalu.
Ia antara serangan pertama sejak tentera Russia mula berundur dari wilayah itu bulan lalu, sebaliknya mengalihkan tumpuan mereka untuk menguasai wilayah Timur Donbas, selama bertahun-tahun dikawal sebahagiannya oleh pemisah pro Russia. – AFP, 17 April, 2022.
Komen