PM Thailand arah waspada kluster Songkran


Perayaan Songkran berakhir pada Jumaat diadakan bagi menyambut tahun baharu buat warga Thai dan masyarakat Siam di tempat lain. – Gambar EPA, 16 April, 2022.

PERDANA Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengarahkan kementerian kesihatan awam dan agensi lain yang berkaitan untuk meningkatkan tahap persediaan berikutan kemungkinan wujud kluster Covid-19 selepas percutian Songkran.

Menurut jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana, antara persediaan yang perlu dilakukan kementerian dan agensi adalah menyediakan lebih banyak katil dan pusat pengasingan komuniti.

“Orang ramai digesa memantau kesihatan mereka selama 7 hingga 10 hari selepas pulang daripada percutian Songkran. Sekiranya mempunyai gejala mereka mesti segera mendapatkan nasihat perubatan dan menjalani ujian saringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pejabat keselamatan kesihatan negara juga menyediakan talian hotline 1330 Covid-19 untuk memenuhi peningkatan permintaan mendapatkan bantuan selepas Songkran.

Talian 1330 akan menyelaraskan permintaan dan pertanyaan pesakit Covid-19 serta pendaftaran untuk pengasingan rumah dan komuniti selain menyediakan pengangkutan ke hospital bergantung kepada gejala dialami.

Thailand melaporkan lebih 4 juta kes Covid-19 dengan 18,892 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Sehingga kini jumlah kumulatif kes di seluruh negara sebanyak 4,012,184 kes sejak pandemik melanda Thailand pada Mac 2020.

Sementara itu, 125 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah korban setakat ini 26,754 orang.

Kadar penggunaan katil hospital adalah 26.7% setakat ini. – Bernama, 16 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen