POLIS menahan seorang lelaki disyaki terbabit dengan sindiket Macau Scam di Pulau Pinang sehingga menyebabkan seorang mangsa kerugian RM28,000 kononnya terlibat dalam pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani di Kedah dua hari lalu hasil risikan dan siasatan dijalankan polis bahagian siasatan jenayah komersial Ibu Pejabat Polis Barat Daya.
“Berdasarkan laporan diterima, seorang wanita terima panggilan telefon dari seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan nama mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM36,000 lalu talian disambungkan ke pegawai polis dan dimaklumkan dia juga mempunyai rekod jenayah pengubahan wang haram serta pengedaran dadah.
“Mangsa turut ditawarkan bantuan oleh individu bergelar ‘Datuk’ dan bersetuju untuk memindahkan wang dari akaunnya ke akaun yang diberi untuk siasatan lanjut, dia membuat dua kali pemindahan duit sebanyak RM28,000 sebelum menyedari dirinya tertipu selepas terbaca penipuan berkenaan di Facebook,” katanya hari ini.
Katanya, polis kini giat mengesan rangkaian sindiket Macau Scam itu dan lelaki bekerja sendiri yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Kamarul Rizal berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an yang disyaki dijadikan “keldai akaun” oleh sindiket Macau Scam, dalam serbuan di Balik Pulau dua hari lalu.
Katanya, lelaki itu ditahan susulan siasatan yang dijalankan berhubung laporan polis dibuat seorang suri rumah berusia 40-an yang menjadi mangsa sindiket Macau Scam sehingga kerugian RM9,200 dalam kejadian September tahun lalu.
“Wanita itu memaklumkan menerima panggilan daripada pegawai LHDN dan polis mendakwa kononnya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,670.06 selama 15 bulan, dia perlu menjelaskan tunggakan itu jika tidak mahu dikenakan tindakan mahkamah dan pemotongan dalam akaun simpanan mangsa.
“Tanpa rasa curiga pengadu memberikan maklumat akaun bank kepada sindiket itu sebelum mendapati duit simpanannya dalam Tabung Haji yang berjumlah RM9,200 dipindahkan ke akaun bank lain tanpa pengetahuannya,” katanya.
Katanya, lelaki yang ditahan itu kini direman selama empat hari dan kes itu disiasat menurut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997. – Bernama, 16 April, 2022.
Komen