SEMBILAN anggota polis cedera dalam usaha melerai pertempuran antara kumpulan yang berhimpun membantah perhimpunan kumpulan haluan kanan yang mahu membakar Al-Quran di Orebro di tengah Sweden, kata pihak berkuasa.
Polis dalam kenyataan berkata sembilan anggota itu cedera dalam usaha meleraikan kedua-dua kumpulan protes itu.
Kecederaan mereka termasuklah “patah tangan dan dilempar batu”, kata jurucakap polis Diana Qudhaib kepada akhbar Aftonbladet.
Seorang orang awam turut cedera terkena batu dilempar ke kepalanya.
Protes yang melibatkan sekitar 200 orang itu bersurai lewat petang, kata media tempatan.
Ia adalah hari kedua pertempuran berlaku di protes dibuat gerakan anti pendatang dan anti Islam Stram Kurs diketuai warga Denmark-Sweden Rasmud Paludan.
Tiga anggota polis cedera dan dibawa ke hospital selepas rusuhan tercetus di bandar Linkoping, timur Sweden pada Khamis, tempat berlakunya himpunan yang mahu membakar Al-Quran. Dua orang turut ditahan pada protes itu.
Mengulas keganasan itu, Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson berkata: “Di Sweden, rakyat dibenarkan meluahkan pandangan mereka samada baik atau buruk, ia adalah sebahagian daripada demokrasi kita. Tidak kisah apa yang anda fikir, anda tidak boleh memilih tindakan keganasan. Kami tidak akan terima.
“Ini adalah reaksi ganas yang dia (Rasmus Paludan) mahu lihat. Tujuan utamanya adalah mencetuskan kebencian sesame kita,” katanya kepada agensi berita TT.
Paludan seringkali jadi tumpuan pelbagai kejadian sejak beberapa tahun lepas.
Pada November 2020, dia ditahan di Perancis dan diusir.
Lima lagi aktivis ditahan di Belgium tidak lama selepas itu, didakwa kerana “menyebarkan kebencian” dengan membakar Al-Quran di Brussels. – Bernama, 16 April, 2022.
Komen