PEREKA grafik Fahmi Reza dibebaskan selepas direman polis selama dua hari berhubung isu karya seni terbarunya, karikatur beruk berpakaian kostum diraja Melayu, yang disifatkan pihak berkuasa sebagai menghasut.
Dalam catatan di Facebook, artis grafik itu berkata beliau sudah bebas dari “Hotel Dang Wangi”.
“Aku dah check out dari Hotel Dang Wangi! Pakej penginapan 2 hari 1 malam courtesy of Mojo Jojo!
“Great location, perfect vibes, and amazing hospitality! Food was tasty, siap dapat complimentary sahur & iftar sent to my room. Would love to return in the future!!!,” tulisnya dalam catatan itu.
Beliau juga memberi penilaian empat bintang bagi pengalaman satu malam di lokap balai polis daerah Dang Wangi.
Pada Rabu, Fahmi dimaklumkan oleh Bukit Aman yang beliau disiasat atas tuduhan menghasut berhubung karya seni terbarunya.
Beliau kemudian ditahan di lokap balai polis daerah Dang Wangi.
Pereka grafik itu menggunakan watak Mojo Jojo, penjahat dari kartun The Powerpuff Girls dengan menggambarkan seekor beruk berpakaian kostum diraja yang serupa dengan seorang raja Melayu.
Beliau mengeluarkan kenyataan mereka yang boleh menerima karya sindiran yang menyamakan orang lain dengan beruk harus menerimanya apabila perkara serupa dilakukan ke atas mereka.
Walaupun tidak menyebut nama dipercayai beliau merujuk kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membeli lukisan menggambarkan ahli Parlimen sebagai monyet, beruk dan katak. – 16 April, 2022.
Komen