Bukan saya dalam video seks itu, kata Chong Wei


Lee Chong Wei menafikan dirinya adalah lelaki terlibat dalam video seks yang tular awal pagi ini. Dia juga akan membuat laporan polis mengesan dalang kejadian yang disifatkannya sebagai sabotaj itu. – Gambar AFP, 13 Februari, 2018.

PEMAIN badminton negara Lee Chong Wei menafikan dirinya terlibat dalam rakaman video seks yang tersebar dalam kumpulan chat dan akan membuat laporan polis berkaitan dakwaan dia adalah lelaki dalam video itu.

“Itu bukan saya,” kata Lee kepada The Malaysian Insight apabila ditanya mengenai sebuah klip video yang tular dalam kumpulan chat berbahasa Cina awal pagi ini.

Atlet itu mengatakan dia tidak tahu mengapa klip sebegitu boleh disebarkan dan mengapa dia dituduh terlibat, menambah yang dia akan meminta bantuan polis untuk mengenal pasti dalang kejadian itu.

Lee juga tidak menolak kemungkinan sabotaj, mengatakan pihak tertentu mungkin cemburu dengan kejayaannya dan cuba melibatkan dia dalam skandal seks memandangkan filem autobiografinya akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Majlis tayangan perdana filem itu dijadualkan berlangsung pada 9 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lee yang kelihatan tenang ketika bercakap dengan The Malaysia Insight mengatakan walaupun dia bengang dengan kejadian itu, ia tidak akan menganggu latihannya.

Akhbar Berita Harian Online pula melaporkan kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah bahawa masih tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak termasuk Lee.

Beliau juga mengatakan yang video itu adalah video lama yang pernah tersebar dua tahun lepas dan merupakan video superimpose.

“Saya difahamkan ia adalah video lama yang disebarkan semula, video itu pernah tersebar kira-kira dua tahun lalu dan dikatakan menggunakan teknologi ‘superimpose’.

“Bagaimanapun, sekiranya pihak yang berkenaan bimbang penyebaran video berkenaan menjatuhkan reputasi mereka, maka wajar individu terbabit tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya seperti dipetik akhbar itu.

Lee sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

Pesaing lamanya dalam sukan badminton, Lin Dan dari China juga pernah terpalit dengan skandal seks pada 2016 dengan seorang model ketika isterinya sedang mengandung. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen