Rusia beri amaran perhebat serangan ke atas Kyiv


Penghadang besi dan timbunan pasir diletak di tengah Kyiv. Hari ini Kementerian Pertahanan Rusia umum akan memperhebatkan serangan ke atas ibu negara Ukraine sebagai tindak balas kepada serangan di tanah Rusia yang didakwa dibuat oleh tentera Kyiv. – Gambar EPA, 15 April, 2022.

KEMENTERIAN pertahanan Rusia memberi amaran pada Jumaat ia akan memperhebatkan serangan ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv, sebagai tindak balas kepada serangan di tanah Rusia, selepas menuduh Ukraine menyasarkan bandar sempadan Rusia.

“Jumlah dan skala serangan peluru berpandu terhadap sasaran di Kyiv akan meningkat sebagai tindak balas kepada sebarang serangan pengganas atau sabotaj yang dibuat oleh rejim nasionalis Kyiv di wilayah Rusia,” kata kementerian itu dalam kemas kini hariannya.

Tambahnya tentera Rusia menyerang sebuah kilang “tentera” di luar Kyiv lewat Khamis menggunakan peluru berpandu jarak jauh berasaskan laut Kalibr.

“Akibat serangan ke atas loji pembinaan mesin Zhulyansky ‘Vizar’, bengkel untuk pengeluaran dan pembaikan sistem peluru berpandu antipesawat jarak jauh dan sederhana, serta peluru berpandu anti-kapal, telah dimusnahkan,” kata kementerian itu.

Kementerian itu juga berkata sistem peluru berpandu S-400 miliknya menembak jatuh sebuah helikopter Mi-8 Ukraine yang melakukan “serangan ke atas orang awam di kawasan Klimovo di wilayah Bryansk pada 14 April”.

Pada Khamis, Moscow menuduh Ukraine menghantar helikopter untuk mengebom sebuah kampung di wilayah Bryansk Rusia dekat dengan sempadan Ukraine yang mencederakan lapan orang.

Pada hari sama, ketua wilayah Belgorod di Rusia berkata, sebuah kampung berhampiran sempadan telah dibedil oleh Ukraine, manakala penduduk berdekatan telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Kyiv menafikan serangan helikopter itu, sebaliknya menuduh Rusia melancarkan insiden itu untuk membangkitkan “histeria anti-Ukraine” di negara itu. – 15 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen