KANADA akan menghantar sehingga 150 tentera dalam misi kemanusiaan ke Poland bagi menyokong kemasukan besar-besaran rakyat Ukraine yang melarikan diri daripada pencerobohan Rusia ke atas negara mereka, umum Menteri Pertahanan Anita Anand semalam.
Separuh daripada lebih 4.7 juta pencari suaka Ukraine telah pergi ke negara jiran Poland, sekutu Nato itu berdepan krisis pelarian dan meminta bantuan.
Hanya 100 daripada jumlah keseluruhan tentera yang ditugaskan untuk misi itu akan dikerahkan serta-merta.
Anand memberitahu sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Trenton di Ontario sambil menambah mereka akan membantu usaha Poland untuk menyokong dan menjaga warga Ukraine yang melarikan diri dari keganasan.
Askar yang fasih berbahasa Ukraine akan dihantar ke pusat penerimaan barisan hadapan di seluruh Poland bagi “menyediakan sokongan umum, perkhidmatan rohani dan rawatan perubatan yang terhad”, katanya.
Mereka juga akan menyokong pasukan petugas kemanusiaan yang diketuai Poland dan membantu menempatkan semula warga Ukraine di Kanada.
Ottawa bulan lalu berkata mereka akan mengambil jumlah pelarian Ukraine yang tidak terhad dan setakat ini meluluskan 30,000 permohonan di bawah peraturan imigresen khas baharu untuk warga Ukraine.
Tetapi hanya 12,000 warga Ukraine mendarat di Kanada menerusi langkah itu dan program migran lain sejak awal tahun ini, kata Menteri Imigresen Sean Fraser baru-baru ini.
Dalam pembentangan bajetnya minggu lalu kerajaan Kanada juga memperuntukkan tambahan AS$800 juta dalam bentuk pinjaman untuk Ukraine melalui Tabung Kewangan Antarabangsa can AS$400 juta dalam bentuk bantuan ketenteraan. – Bernama, 15 April, 2022.
Komen