Jerman rampas kapal layar terbesar dunia milik jutawan Rusia


Alisher Usmanov menduduki tempat keenam dalam senarai Sunday Times sebagai individu terkaya di UK pada 2021. – Gambar EPA, 15 April, 2022.

JERMAN secara rasmi berjaya merampas kapal layar mega terbesar di dunia yang dimiliki oligarki dan jutawan Rusia, Alisher Usmanov, sebagai sebahagian daripada sekatan terhadap Moscow susulan meletusnya perang di Ukraine, kata sumber polis pada Khamis.

“Dilbar” sepanjang 156m itu mempunyai nilai anggaran AS$600 juta (555 juta euro) menurut majalah Forbes.

Sejak Oktober lalu, kapal itu berlabuh untuk pembaikan di limbungan kapal Hamburg.

Kastam Jerman mengawasi kapal layar mega itu selama beberapa minggu, tetapi tidak dapat merampasnya secara rasmi lebih awal kerana imbroglio undang-undang ke atas pemilikannya.

Akhirnya Polis Kehakiman Persekutuan Jerman berkata mereka berjaya “selepas siasatan yang panjang, dan walaupun disembunyikan melalui syarikat luar pesisir, dalam mengenal pasti pemilik M/S Dilbar dan ia adalah Gulbakhor Ismailova, saudara perempuan Alisher Usmanov”.

“Kapal layar mewah itu kini berada di bawah rejim sekatan dan mungkin dirampas di Hamburg,” tambah polis di Twitter.

Jutawan Rusia dan saudara perempuannya menjadi sasaran sekatan Eropah terhadap oligarki Rusia serta ahli keluarga mereka.

Usmanov, 68, menduduki tempat keenam dalam senarai Sunday Times sebagai individu terkaya di UK pada 2021.

Beliau adalah seorang daripada puluhan oligarki Rusia yang dikenakan sekatan Barat sejak Moscow melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Pada Rabu, kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris Everton menggantung perjanjian penajaannya dengan beberapa syarikat di mana Usmanov memegang saham.

Rampasan “Dilbar” adalah yang terbaru dalam rentetan rampasan kapal layar besar Rusia di bawah sekatan Barat. – AFP, 15 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen