Isu pemilikan rumah semakin melarat


SAYA membaca artikel berkaitan lukisan Dewan Rakyat dipenuhi haiwan dibeli oleh Sultan Selangor.

Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan respons di media sosial menunjukkan rakyat bersetuju Dewan Rakyat yang merupakan teras kepada demokrasi Malaysia dipenuhi oleh haiwan-haiwan yang tidak berakal.

Haiwan yang paling mendapat perhatian dalam lukisan ini adalah katak, dan hakikat itu tak perlu dijelaskan lagi.

Situasi ini membuatkan saya berfikir; bagaimana negara kita yang pernah dikatakan “dilahirkan semula” selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi seperti ini?

Jawapan mudahnya adalah sejak PRU14, Malaysia menyaksikan pergelutan kuasa antara pemain politik yang tidak berkesudahan.

Ramai yang menjangkakan hal ini akan berakhir setelah PRU15. Bagaimana jika ia tidak berlaku?

Masalah utama apabila berlaku perebutan kuasa – di Malaysia lebih kepada rundingan kuasa – hal-hal penting yang lain kurang dibincangkan.

Salah satu sebab negara masih gagal menyelesaikan pelbagai masalah sejak pandemik melanda kerana banyak hal penting tidak dibincangkan seserius kestabilan politik.

Kali ini saya ingin bercakap tentang isu pemilikan rumah yang kurang dibincangkan. 

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) mengatakan tahap harga kediaman di Malaysia sangat tidak mampu milik dengan kemampuan isi rumah untuk memiliki rumah membimbangkan.

Keadaan ini berlaku kerana ketidakpadanan dari segi harga yang ditawarkan pemaju, berbanding kemampuan pembeli.

Pasaran perumahan kita dilihat gagal menyediakan rumah mampu milik yang secukupnya untuk rakyat Malaysia.

Menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan, 76% isi rumah di Malaysia adalah berpendapatan atau kurang daripada RM8,333 sebulan – pendapatan seperti in cuma mampu memiliki rumah berharga sehingga RM300,000.

Masalahnya, menurut laporan BNM hanya 36% rumah yang ada di pasaran berharga di bawah RM300K. Dalam erti kata lain, kebanyakan rakyat di negara ini tidak mampu untuk memiliki rumah. 

Masalah pemilikan rumah atau aset di Malaysia adalah isu yang kompleks dan berlaku sejak 20-30 tahun kebelakangan ini; tiada jalan pintas untuk menyelesaikan isu ini.

Pertama, ia berkaitan kadar gaji di Malaysia – sekiranya kita bahagikan RM8,333 kepada dua, seseorang itu perlu memilki gaji lebih kurang RM4,166 untuk bermimpi memiliki rumah – dengan tanggapan pasangannya memiliki kadar gaji yang lebih kurang sama.

Sekiranya anda pergi berjalan ke mana-mana tempat dan kemudian bertanya secara rawak tentang kadar gaji bagi mereka yang berumur kurang daripada 30 tahun – saya boleh menjamin sukar untuk mendengar akan ada orang bergaji lebih daripada RM4,000. 

Untuk menyelesaikan masalah gaji, kita perlukan majikan yang tidak terlalu bergantung kepada kuasa beli tempatan untuk membayar gaji – memandangkan kuasa beli rakyat kita rendah.

Disebabkan hal ini, kita perlukan syarikat yang berdaya saing untuk menembusi pasaran eksport. Pelaburan perniagaan yang kompetitif akan melahirkan syarikat-syarikat yang mampu membayar gaji yang lebih baik.

Bagaimana ingin menerima pelaburan asing? Kita harus mempunyai kerajaan yang stabil dan dasar yang merangsang pelaburan.

Dengan keadaan politik yang ada pada hari ini, adakah anda fikir pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara kita? 

Selain isu gaji, kita juga perlu melihat tentang dasar ‘sewaan’ yang ada di negara kita. Kita tidak dapat menyelesaikan masalah pemilikan rumah di negara ini dengan waktu yang singkat.

Persoalannya apa yang kita boleh lakukan untuk memastikan sewaan tidak menindas mereka yang tidak mampu memiliki rumah?

Kita perlukan dasar yang boleh melindungi pemilik dan penyewa rumah. Kadar sewaan perlu ditahap yang berpatutan agar rakyat memiliki “cash flow” yang sihat – hal ini akan meningkatkan kuasa beli rakyat.

Kita sering mendengar “skim” orang berada memborong rumah mampu milik yang kemudiannya disewakan untuk B40 dengan harga yang mahal. Saya fikir kita perlu lakukan sesuatu tentang hal ini.

Selain itu, kita juga boleh melihat dasar-dasar lain seperti pemilikan bersama (kerajaan-rakyat) untuk membantu menyelesaikan isu pemilikan rumah. 

Kita perlukan menyelesaikan masalah ini dengan segara, semakin dibiarkan; sudah tentu ia akan semakin melarat.

Pada akhirnya masalah ini tidak akan selesai seandainya kita tidak memiliki kerajaan yang stabil dan mampu membuat keputusan dengan betul.

Isu perumahan rakyat adalah isu yang penting; ia seharusnya lebih banyak dibincangkan pada arus perdana. – 15 April, 2022.

* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen