PASUKAN keselamatan Afghanistan memusnahkan dua buah makmal pemprosesan narkotik dan menahan empat suspek di wilayah Bamiyan tengah, lapor Xinhua, memetik kerajaan tempatan pada Khamis.
Anggota polis wilayah dan agensi perisikan menyerbu makmal di Dasht-e-Essa Khan, sebuah kawasan wilayah bandar Bamiyan pada Rabu, merampas sejumlah dadah dan peralatan, katanya dalam satu kenyataan.
Ketika serbuan, suspek sedang sibuk memproses dadah jenis kokain dan methamphetamine di kemudahan itu, menurut kenyataan itu.
Tindakan keras terbaharu terhadap bahan terlarang itu dibuat ketika kerajaan sementara pimpinan Taliban berikrar untuk memerangi narkotik dan dadah.
Kebanyakan tanaman popi candu dunia ditanam di negara Asia yang dilanda perang itu selama beberapa dekad. Pada 2020, kira-kira 6,300 tan metrik candu telah dihasilkan.
Bagaimanapun, pemimpin tertinggi Taliban, Mawlawi Haibatullah Akhundzada, dalam satu dekri melarang penanaman popi candu dan perdagangan candu di Afghanistan awal bulan ini. – Bernama, 14 April, 2022.
Komen