PERDANA Menteri Sri Lanka Mahinda Rajapaksa pada Isnin merayu kepada rakyatnya agar “bersabar” ketika ribuan orang terus turun ke jalan raya bagi membantah pemerintahan keluarganya, selain kemarahan terhadap krisis ekonomi paling teruk.
22 juta penduduk Sri Lanka telah mengalami pemadaman elektrik sejak berminggu-minggu selain kekurangan makanan, bahan api dan juga ubat untuk selamatkan nyawa berikutan kemelesetan terburuk negara itu sejak merdeka pada 1948.
Penunjuk perasaan berhimpun setiap hari sejak Sabtu menentang Presiden Gotabaya Rajapaksa - adik Mahinda - di Colombo dan juga di seluruh negara, melaungkan “Gota pulang” dan menyeru agar kerajaannya disingkirkan.
Dalam ucapan pertamanya sejak krisis itu, Mahinda berkata beliau perlu lebih banyak masa untuk menarik negara keluar dari jurang yang dalam.
“Walaupun kami tidak dapat hentikan krisis ini dalam dua atau tiga hari, kami akan cuba selesaikannya secepat mungkin,” kata Rajapaksa dalam ucapannya di televisyen.
“Setiap minit anda bantah di jalanan, kita akan hilang peluang untuk dapatkan dolar untuk negara,” katanya.
“Sila ingat negara perlukan kesabaran anda diwaktu genting ini.”
Tekanan terhadap keluarga Rajapaksa yang berkuasa telah meningkat sejak kebelakangan ini, dengan komuniti perniagaan penting negara itu turut menarik balik sokongan pada hujung minggu.
Mahinda tidak secara langsung menangani gesaan yang semakin meningkat untuk beliau dan Gotabaya berundur, tetapi beliau mempertahankan pentadbirannya dengan berkata parti pembangkang telah menolak tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan.
“Kami jemput semua pihak lain untuk tampil ke hadapan dan menyahut cabaran, tetapi mereka tidak buat, jadi kami akan buat sendiri,” katanya yang turut menyalahkan hutang asing Sri Lanka yang melonjak.
Walaupun sekatan dan pemberhentian yang didorong oleh koronavirus telah menjejaskan ekonomi penting yang seperti pelancongan, pakar berkata krisis itu diburukkan lagi oleh salah urus kerajaan, pinjaman terkumpul selama bertahun-tahun selain pemotongan cukai yang tidak perlu.
Kerajaan sedang bersedia untuk dapatkan bailout dengan Tabung Kewangan Antarabangsa minggu ini, dengan pegawai kementerian kewangan berkata pemegang bon berdaulat dan pemiutang lain mungkin perlu berkorban juga.
Sri Lanka menjangkakan AS$3 bilion daripada IMF untuk menyokong imbangan pembayaran pulau itu dalam tempoh tiga tahun akan datang. – AFP, 14 April, 2022.
Komen