MASALAH bekalan baja komersial yang semakin meruncing seluruh dunia akibat konflik Rusia-Ukraine menyebabkan permintaan untuk bekalan najis haiwan naik mendadak, menurut laporan.
Peningkatan itu dilaporkan menyebabkan pembekal najis haiwan tersebut kini tidak menang tangan melayan permintaan, selepas bertahun-tahun bergelut untuk memasarkan produk itu.
Laporan Reuters menyebut, petani di Amerika Syarikat (AS) berebut-rebut untuk mendapatkan bekalan berkenaan untuk pusingan tanaman bagi musim bunga.
Ia turut mendorong kepada permintaan kepada jentera untuk menabur baja berkenaan yang digelar honeywagon, menurut laporan itu.
Satu sumber yang dipetik, seorang pembekal tinja dari firma Nutrient Advisor berkata: “Baja najis benar-benar jadi komoditi yang hangat.”
Laporan itu turut memetik angka disiarkan kerajaan AS yang menyebut, peningkatan harga baja akan mengurangkan lagi pengeluaran jagung dan gandum dalam musim ini.
Keadaan itu berlaku sewaktu rizab gandum dalam negara AS berada pada paras paling rendah dalam tempoh 14 tahun dan konflik Rusia-Ukraine dijangka memburukkan keadaan.
Pengeluaran baja komersial juga memerlukan banyak bahan api yang harganya kini melambung.
Konflik tersebut dijangka memberi ancaman lebih besar ke atas jaminan bekalan makanan sedunia, memandangkan Rusia yang dikenakan sekatan oleh banyak negara merupakan antara pengeluar bahan utama baja komersial dan bahan api.
Malaysia yang mengimport banyak bahan makanan dan input pertanian tidak terkecuali dari kesan tersebut dan kini menyaksikan peningkatan mendadak harga makanan ekoran konflik Rusia-Ukraine yang berterusan. – 14 April, 2022.
Komen