Najib patut tolak persempadanan semula Selangor, kata Bersih 2.10


Asila Jalil

Pemimpin Pakatan Harapan dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah (duduk ketiga dari kiri) bersama sepanduk membantah persempadanan semula di Selangor di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Februari, 2018.

JIKA Perdana Menteri Najib Razak tahu yang pelaksanaan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertentangan dengan Perlembagaan, beliau perlu menolak laporan akhir yang diserahkan kepada Parlimen, kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Maria berkata hari ini SPR perlu meneliti bantahan yang dikumpul pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Selangor berhubung amalan persempadanan semula itu.

“Kita perlu mempertahankannya. Saya berharap SPR akan meneliti bantahan yang kita ada (kumpulkan),” katanya semasa menyerahkan bantahan terhadap notis kedua SPR mengenai pelaksanaan persempadanan semula di Selangor di pejabat suruhanjaya itu di Shah Alam hari ini.

Turut hadir adalah pemimpin PH seperti Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Gabungan pembangkang dan Bersih 2.0 secara kolektif menyerahkan 200 bantahan yang mewakili 30,000 tanda tangan kepada SPR hari ini.

“Bantahan itu mewakili suara rakyat di Selangor yang berharap agar SPR bertindak secara profesional dan adil tanpa berpihak kepada mana-mana parti serta melihat bantahan secara menyeluruh berdasarkan fakta yang dibentangkan.

“Bagi kawasan yang terjejas oleh cadangan kedua seperti Gombak, Ampang, Pandan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang, kami berharap SPR akan mengkaji bantahan yang dibawa oleh pengundi di kawasan tersebut,” kata Dr Wan Azizah hari ini.

Pada 15 Januari, SPR menerbitkan senarai cadangan pelaksanaan persempadanan semulanya di negeri ini dan akan dipamerkan selama sebulan, yang berakhir esok.
Maria berkata masih ada masa untuk rakyat membantah amalan persempadanan semula.

“Saya tidak tahu mengapa mereka (SPR) terburu-buru dengan proses ini. Apa yang mereka kejar? Garis masa sebenarnya hingga September,” katanya.

Pengkritik mendakwa persempadanan semula memberikan BN kelebihan yang tidak adil dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Dilaporkan bulan lepas PH Selangor masih memperoleh 500 bantahan bagi persempadanan  semula itu. – 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen