.jpg)
NAMA si katak mangli diulang sebut dalam perumpamaan dan peribahasa orang dulu-dulu.
Mati katak bererti mati sia-sia. Katak di bawah tempurung bererti manusia yang cetek dan picik pengetahuannya.
Yang mungkin langka didengari, katak menggigit telunjuk melihatkan ular menjadi belut. Cari sendiri maksudnya.
Malah si katak turut mendarat di lagu rakyat, ‘Lompat Si Katak Lompat’ yang didendang kepada anak-anak kecil.
Sampai ke hari ini, katak diumpamakan dengan manusia. Politikus yang menukar keahlian parti seperti baju basahan juga dipanggil katak.
Ada apa dengan katak? Mengapa orang Melayu begitu obses menyamakan manusia dengan katak?
Kalau dirujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, katak ialah sejenis binatang yang melompat, berkaki renang, berkulit licin dan tidak berekor. Pendek kata, lebih kurang manusia.
Secara taksonomi, manusia juga binatang dan sudah tentu boleh berperangai kebinatangan. Kesemua ciri-ciri yang lain yang disenaraikan juga kena dengan manusia.
Merentas maksud di dalam Kamus Dewan yang disusun Teuku Iskandar, sebenarnya manusia dan katak berkongsi banyak persamaan, lebih-lebih lagi politikus.
Metafora katak sebagai ahli politik bukan perkara baru. Baha Zain sudah memanggil mereka si katak dalam karyanya Berguru Kepada Binatang. Barangkali lebih awal dari itu nama politikus dan katak sudah disinonimkan.
Secara anatominya, katak mempunyai kulit separa telap sekaligus menjadikan mereka sensitif kepada perubahan suhu. Sekiranya suhu tidak bersesuaian, katak tidak beradaptasi sebaliknya memilih untuk berpindah.
Hal ini menjadikan katak tidak mempunyai habitat tetap atau sarang sepertimana sesetengah binatang lain.
Begitu juga dengan politikus. Seperti katak, mereka tidak reti duduk setempat. Sekiranya suhu semasa tidak sesuai, mereka bersedia untuk berpindah.
Sejak Pilihan Raya ke-14, seramai 39 ahli Parlimen telah melompat parti sekaligus menjadi punca kepada ketidakstabilan negara belakangan ini. Politikus ini menganut resmi katak, sedia melompat pergi sekiranya suhu semasa tidak kena dengan selera mereka.
Sewaktu Barisan Nasional lemah selepas dimalukan pada 2018, suhu dalaman parti menjadi panas lebih-lebih lagi apabila pemimpin utama diheret ke mahkamah.
Maka, berbondong-bondong ahli mereka melompat meninggalkan parti. Malah, 9 parti komponen turut keluar daripada gabungan tersebut.
Sama halnya dengan Langkah Sheraton. Bagi geng kartel Azmin Ali yang mengepalai kudeta ini, suhu di dalam Parti Keadilan Rakyat tidak lagi sesuai untuk mereka terus bersetia.
Azmin mendambakan jawatan perdana, namun Anwar Ibrahim mempunyai rancangan yang sebaliknya. Akhirnya, mereka memilih untuk meninggalkan kediaman dan melompat ke rumah baru.
Demikianlah hikayat hidup si politikus.
Seperti katak pokok, mereka juga boleh bertukar warna. Hari ini berjersi biru, esok berjersi merah.
Sejak 1980-an, lebih 120 spesis katak telah pupus. Malangnya, katak politik tidak termasuk dalam senarai tersebut. Namun situasi ini mungkin berubah.
11 April lalu, Mesyuarat Khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti telah dilangsungkan di Dewan Rakyat. Setelah beberapa tahun pembangunan Malaysia dibazirkan dengan kemelut politik, Perdana Menteri berjaya mengetuai usaha dwi partisan untuk memburu katak.
Sekiranya RUU Antilompat Parti terlunas, hal ini akan berterusan dikenang sebagai salah satu legasi terbesar kepimpinan Ismail Sabri Yaakob.– 14 April, 2022.
* Johan Mat, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen