.jpg)
MERUJUK kepada cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) berkaitan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan, cadangan ini tidak relevan dan tidak perlu.
Ironinya, Perkara 48(6) adalah berkaitan perletakan jawatan sebagai ahli Parlimen, sedangkan tindakan lompat parti tidak menjurus kepada perletakan jawatan.
Di bawah peruntukan sekarang, ahli Parlimen yang meletak jawatan tidak akan dibenarkan bertanding semula di peringkat Parlimen untuk tempoh 5 tahun.
Seharusnya, satu peruntukan khusus kepada sub-Perkara 48 berkaitan kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen akibat lompat parti dan hukuman atau kesan kepada kerusi yang disandang (recall election) digubal.
Manakala akta anti lompat parti pula digubal bagi memberikan tafsiran dan prosedur bagaimana tindakan diambil kesan daripada tindakan lompat parti.
Memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan adalah berisiko untuk tindakan lompat parti melalui pintu belakang dengan cara seseorang ahli Parlimen itu meletak jawatan dan kemudian boleh sahaja bertanding semula atas tiket parti lain tanpa dihalang (banned) untuk tempoh 5 tahun.
Senario ini jika berlaku akan mematahkan tujuan akta anti lompat parti. Lagipun, pemansuhan peruntukan sedia ada ini akan membuatkan rakyat terpaksa berhadapan dengan pilihanraya berulang kali yang pasti membazir jutaan ringgit wang rakyat.
Justeru, peruntukan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan sedia ada yang melarang seseorang ahli Parlimen yang meletak jawatan menjadi ahli Parlimen untuk tempoh 5 tahun harus dikekalkan untuk dijadikan penghalang perletakan jawatan sewenang-wenangnya. – 13 April, 2022.
* Faiz Fadzil, Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen