PETANI menghadapi kesukaran untuk menyediakan rumah untuk pekerja asing di bawah dasar kerajaan yang dilaksanakan pada 2020.
Mereka bergelut untuk membina asrama untuk pekerja kerana ladang mereka terletak di atas bukit dan kawasan berceranggah.
Lokasi ladang yang terletak di kawasan terpencil juga menyukarkan mereka untuk menyalurkan bekalan air dan elektrik. Sesetengah petani menggunakan telaga dan generator untuk bekalan mereka.
Majikan kini dikehendaki mengikut garis panduan dalam Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990) untuk menyediakan perumahan kepada pekerja.
Presiden Persatuan Peladang Sayuran Malaysia Lim Ser Kwee berkata, kebanyakan tanah ladang itu dipajak dan digunakan untuk mengusahakan tanaman jangka pendek.
Sehubungan itu, beliau berkata tanah itu hanya digunakan sehingga tiga tahun, justeru menjadi beban besar kepada petani untuk membina asrama yang menepati kehendak kerajaan.
Beliau berkata satu lagi isu yang dihadapi petani ialah tanah mereka terletak di kawasan terpencil yang mana pihak berkuasa juga sukar untuk menyediakan bekalan air dan elektrik.
“Bagaimana kita hendak membina asrama jika pihak berkuasa pun sukar untuk menyediakan bekalan elektrik dan air?
“Sebelum menggubal sebarang peraturan, kerajaan harus menjalankan pemeriksaan di tempat mengikut industri berbeza dan menyesuaikan keperluan dengan keadaan tempatan.
“Mereka juga harus mempertimbangkan kesukaran yang dihadapi oleh petani.”
Lim berkata bahawa petani telah menderita sejak bermulanya wabak Covid-19.
“Terdapat kekurangan tenaga kerja, yang menyebabkan hasil tanaman rendah.
“Sekarang harga baja juga naik dan kerajaan tidak memberi bantuan, sebaliknya membuat cadangan yang tidak realistik untuk petani beralih kepada baja lain.
Beliau berkata sebelum ini petani kecil hanya menggaji tiga hingga lima pekerja asing dan mereka telah disediakan tempat tinggal, makanan dan air.
“Bagaimana untuk membina asrama kakitangan di tanah ladang yang dipajak ini? Sijil layak menduduki (CF) juga memerlukan kelulusan kerajaan negeri, jadi semuanya mengambil masa.”
Lim berkata bahawa sesetengah petani kecil tidak mampu mendapatkan pekerja asing untuk menangani masalah tenaga kerja mereka, jadi mereka terpaksa menutup kedai atau beralih ke perniagaan lain.
Ini, katanya, boleh menjejaskan pengeluaran kerana hasil sesetengah sayuran tempatan mungkin berkurangan secara beransur-ansur, dan mereka akan terpaksa bergantung kepada sayur-sayuran import.
“Kebanyakan petani sayur menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan hanya beberapa pekerja asing.
“Mereka tidak mampu untuk membina asrama tambahan dan hanya mampu menyewa asrama.”
Beliau berharap kerajaan dapat membantu mereka bagi mengelak petani dari seluruh negara menghadapi krisis ekonomi. – 14 April, 2022.
Komen