Benarkah Jokowi inginkan satu penggal lagi?


TUNJUK perasaan mahasiswa Indonesia yang kini tengah berlaku, selain menuntut agar kerajaan mengendalikan harga barang utamanya minyak, menyelesaikan konflik tanah yang selama ini berlalu, dan meninjau semula pemindahan ibu negara ke Kalimantan, juga kerana adanya isu Jokowi akan melanjutkan pemerintahannya satu penggal lagi.

Meskipun Jokowi telahpun menegaskan dirinya tidak akan dan berniat menambah masa pentadbirannya, bahkan menegaskan pilihan raya umum akan dilaksanakan pada tahun hadapan, namun banyak pengamat politik menilai penjelasan ini datang terlambat – setelah isu ini merebak dalam kalangan rakyat yang kemudian mempercayai kebenarannya.

Apatah lagi, di tingkat akar umbi ada tindakan mengerahkan relawan-relawan untuk mendukung wacana ini. Jadi rakyat semakin curiga, mungkinkah wacana ini semula jadi kerana rakyat mencintai Jokowi atau dibentuk oleh pihak-pihak yang berkepentingan termasuk sang presiden sendiri dan para menterinya.

Tapi apapun tanggapan itu, rakyat sudah terlanjur percaya telah terjadi pengkhianatan terhadap aturan perundangan tentang had masa pemerintahan presiden yang sebelumnya disepakati hanya dua penggal sahaja.

Apatah lagi, menteri kanan pelaburan dan perikanan Luhut Binsar Panjaitan yang dikenali sebagai presiden bayangan, kerana memiliki banyak jawatan di era pentadbiran Jokowi, sempat berhujah memiliki big data rakyat Indonesia yang menyokong pelanjutan pentadbiran Jokowi.

Tapi ironinya, ketika ditemui oleh mahasiswa di kampus Universiti Indonesia pada Selasa (12/04) yang memintakan pertanggungjawaban terhadap hujahnya, beliau balik membidas mahasiswa dengan berkata: “Saya boleh tidak bersepakat dengan permintaan anda, dan anda tidak boleh menyiasat saya.”

Oleh itu, banyak komponen kekuatan mahasiswa dan sebahagian rakyat yang kemudian percaya pelanjutan kuasa ini akan wujud. Kebetulan sahaja wacana ini kemudian bertembung dengan momentum kenaikan petrol dan harga barang asas seperti minyak goreng yang semakin membuat rakyat dan mahasiswa tidak berpuas hati.

Di Indonesia, sudah menjadi kebiasaan jika ada kenaikan harga minyak mahupun barangan asas akan berlaku gelombang tunjuk perasaan di pelbagai daerah yang boleh jadi mencetuskan rusuhan yang tidak terkendali. Di masa-masa pandemik ini sahaja, ada banyak kes rusuhan akibat tunjuk perasaan di ibu negara Jakarta.

Tapi benarkah Jokowi teringin untuk melanjutkan masa pemerintahannya menjadi tiga penggal?

Sebagai aktivis mahasiswa Indonesia yang sedang berkuliah di Malaysia, saya rasa perlu untuk menjelaskan ini kepada rakan-rakan Malaysia.

Pada saya sendiri, pelanjutan masa pemerintahan Jokowi menjadi satu penggal lagi akan sulit berlaku tapi saya berangkat dari logik – jika satu tuduhan tidak terbukti benar, tidak pula tuduhan itu akan terbukti salah.

Demikian pula jika tuduhan itu tanpa bukti, tidak bererti tudahan tersebut terbukti pula salah. Tapi jika suatu tuduhan memiliki bukti kuat, maka tidak ada alasan untuk tidak mempercayainya.

Oleh itu, diperlukan logik yang dapat melihat kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi dalam hal manuver politik yang mengarah ke arah sana.

Selepas reformasi 1998, undang-undang Indonesia memang menghadkan jabatan presiden menjadi dua penggal sahaja. Ini sebagai upaya memperbaiki demokrasi yang saat Orde Baharu rosak.

Kekuatan mahasiswa menjadi bahagian paling penting ketika itu dalam mengawal aturan ini bahkan hingga ke hari ini. Meskipun secara undang-undang juga dimungkinkan terjadinya penggubalan namun upaya ini pasti akan dihalang oleh mahasiswa dan rakyat yang boleh sahaja mencetuskan rusuhan yang lebih hebat.

Masih pada tahap wacana sahaja, rusuhan sudah terjadi di mana-mana, bahkan tunjuk perasaan itu sudah mengarah pada upaya untuk meruntuhkan kerajaan yang sah; tentu sahaja bukan cara yang elok dalam berdemokrasi.

Jokowi sebetulnya telah berkali-kali menegaskan dirinya tidak akan melanjutkan penggal pemerintahnya namun yang menjadi kelemahan dari sang presiden sendiri, dia belum maksimum memberikan hukuman pada setiap pegawainya yang berhujah tentang penundaan piliharan raya dan pelanjutan tempoh pentadbiran apatah lagi menggerakkan sukarelawan turun padang berkempen untuk pelanjutan tempoh petabdiran.

Ketegasan dalam bertindak wajar diperlukan oleh seorang pemimpin agar prasangka terhadap Jokowi sebagai presiden boneka itu terjawab.

Tapi bagi saya juga, agensi kerajaan utamanya kementerian komunikasi dan pendidikan perlu menyiarkan lebih banyak maklumat untuk mengatasi berita-berita palsu yang mencuba meyakinkan agar kekuataan rakyat dan mahasiswa untuk berkhianat dengan kerajaan sedia ada.

Di Indonesia itu, penggunaan media digital sangat besar namun kurang terkawa. Tentu terma kawalan di sini bukan menghalang kebebasan bersuara tapi menghadkan batasan yang boleh menimbulkan rusuhan namun dengan penegakan hukum yang adil.– 13 April, 2022.


* Mansurni Abadi, mahasiswa Indonesia di Universiti Kebangsaan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen