PRESIDEN Rusia Vladimir Putin semalam pada awal pertemuan dengan pemimpin Palestin Mahmud Abbas mengatakan yang beliau sudah berbincang tentang konflik Timur Tengah dengan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump.
“Saya baru bercakap dengan Presiden Trump,” kata Putin kepada Abbas sebelum meneruskan perbincangan tertutup itu. “Jelas sekali kami bercakap tentang konflik Israel-Palestin.”
Pemimpin Palestin itu melawat Moscow dalam usaha mendapatkan sokongan Putin selepas Trump menimbulkan kemarahan rakyat Palestin dan sekutunya dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
“Situasi ini sudah bertambah (buruk) daripada apa yang kita ingin lihat,” kata Putin menambah yang beliau “akan sentiasa menyokong rakyat Palestin”.
“Sangat mustahak untuk kita mengetahui pandangan peribadi anda dalam usaha membetulkan keadaan dan meletakkan pandangan bersama bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Putin.
Trump memberitahu Putin yang “sudah tiba masanya untuk bekerjasama dalam perjanjian damai”, menurut kenyataan White House.
Abbas menolak sebarang hubungan dengan pentadbiran Trump sejak keputusan Washington hujung tahun lepas.
“Memandangkan persekitaran dibentuk oleh tindakan Amerika Syarikat, kami menolak sebarang kerjasaman dengan AS sebagai orang tengah,” kata Abbas.
“Dalam kes pertemuan antarabangsa, kami meminta Amerika Syarikat tidak menjadi orang tengah tunggal tetapi salah sebuah pihak tengah,” kata Abbas.
Pertemuan Abbas dengan Putin berlaku dua minggu selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melawat Moscow.
Pada Isnin, Netanyahu berkata beliau sudah berbincang dengan Washington tentang penempatan di Tebing Barat yang dijajah, tindakan yang diselar pemimpin Palestin sebagai “rompakan tanah”.
White House menafikan dakwaan Netanyahu, tindakan yang jarang berlaku.
Palestin menganggap keputusan AS yang melanggar diplomasi antarabangsa berdekad lamanya sebagai penafian kepada tuntutan mereka ke atas Baitulmaqdis Timur sebagai bakal ibu kota negara Palestin.
Abbas dijadualkan berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Februari berjanji kepada rakyatnya yang beliau akan berusaha mendapat pengiktirafan penuh negara Palestin oleh PBB.
Negara Palestin diiktiraf oleh lebih daripada 130 buah negara. – AFP, 13 Februari, 2018.
Komen