SPRM terima dokumen kewangan kes rasuah pemimpin kanan Umno


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI antirasuah mengesahkan dokumen kewangan sudahpun diperolehi dari pengadu berhubung siasatan ke atas seorang pemimpin kanan Umno yang didakwa menerima rasuah.

Sumber agensi itu memberitahu The Malaysian Insight, ia berkaitan laporan diterima pada 6 April lalu dari seorang pemimpin cawangan Umno dalam bahagian Setiawangsa, Halim Rahmat.

“Kami sudah merakam keterangan daripada pengadu dan sudah mengambil semua dokumen kewangan berhubung kes berkenaan daripada pengadu.

“Pemimpin kanan itu dibawa membeli aset di luar negara hasil wang rasuah yang diterima daripada projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar 2008 hingga 2010,” katanya.

Individu terbabit bagaimanapun belum dipanggil untuk memberi keterangan, kata sumber yang yang menambah, maklumat berhubung kes itu juga diperolehi dari sumber lain.

“Kami belum memanggil pemimpin kanan itu untuk dirakam keterangan kerana dokumen perlu diteliti terlebih dahulu,” katanya.

Siasatan tersebut disahkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut. – 13 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen