Gabenor Oklahoma tandatangan RUU larang gugur kandungan


GABENOR Oklahoma, Kevin Stitt pada Selasa menandatangani rang undang-undang (RUU) yang melarang menggugurkan kandungan di Oklahoma, lapor Xinhua.

“Kami mahu Oklahoma menjadi sebuah negeri pro-kehidupan. Saya yakin rang undang-undang itu akan dicabar serta-merta oleh aktivis liberal,” kata Stitt. 

Di bawah undang-undang baharu itu, menggugurkan kandungan menjadi kesalahan jenayah, dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda AS$100,000.

Hanya kes kecemasan perubatan bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu sahaja yang dibenarkan.

Setiausaha akhbar Rumah Putih Jen Psaki dalam satu kenyataan pada Selasa mengecam langkah itu, sambil menyifatkannya “undang-undang negeri paling ekstrem pernah ditandatangani setakat ini” selain menggesa Kongres Amerika Syarikat meluluskan Akta Perlindungan Kesihatan Wanita.

Sebelum ini, negeri Arizona dan Kentucky turut meluluskan undang-undang melarang menggugurkan kandungan. – Bernama, 13 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen