SEKURANG-KURANGNYA 60 maut akibat banjir dan tanah runtuh berikutan ribut melanda wilayah KwaZulu-Natal, timur Afrika Selatan.
Pihak berkuasa tempatan berkata pakar kaji cuaca meramalkan cuaca buruk dengan hujan dan angin kencang akan berlarutan hingga malam esok.
Penduduk diminta segera mencari perlindungan dan berpindah ke kawasan lebih tinggi.
“Dilaporkan sekurang-kurangnya 45 terkorban akibat banjir dan tanah runtuh di Ethekwini (metro Durban) manakala di daerah iLembe terdapat 15 lagi maut,” katanya.
Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata bencana itu mengakibatkan kerosakan besar kepada nyawa dan infrastruktur yang menjejaskan semua lapisan masyarakat.
“Ini adalah tragedi kuasa alam semula jadi dan keadaan ini memerlukan tindak balas berkesan kerajaan,” katanya.
Ketua Suruhanjaya Kesatuan Afrika Moussa Faki Mahamat menerusi Tweeter turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa bencana itu.
Hujan lebat sejak beberapa hari lalu turut menyebabkan struktur bangunan runtuh, beberapa jalan raya mengalami kerosakan dan bekalan elektrik terputus.
Jabatan pengurusan bencana di wilayah KwaZulu-Natal, di mana Durban bandar terbesar, menggesa orang ramai untuk tinggal di rumah dan mengarahkan mereka di kawasan rendah berpindah ke tempat lebih tinggi.
Pasukan keselamatan termasuk anggota tentera bekerja keras melakukan operasi menyelamat dan memindahkan penduduk yang terperangkap dalam banjir. – AFP, 13 April, 2022.
Komen