Polis bebas penulis Uthaya Sankar


Kalidevi Mogan Kumarappa

Penulis Uthaya Sankar SB dibebaskan selepas polis gagal memperolehi perintah reman bagi siasatan berhubung satu komen penulis itu di Facebook yang berkait dengan Nabi Muhammad. – Gambar The Malaysian Insight, 12 April, 2022.

POLIS membebaskan Uthaya Sankar SB petang ini selepas gagal memperolehi perintah reman bagi siasatan berhubung satu komen penulis itu di Facebook yang berkait dengan Nabi Muhammad.

Pengarah NGO Suaram Sevan Doraisamy memberitahu The Malaysian Insight, polis membebaskan penulis tersebut kira-kira jam 3 petang ini.

“Polis memohon reman selama empat hari bagaimanapun peguam Uthaya, Rajsurian Pillai membantah dan majistret hanya membenarkan perintah reman selama sehari.

“Tempoh reman selama sehari dan Uthaya dibebaskan pada jam 3 petang tadi,” katanya.

Uthaya ditahan di rumahnya di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pagi semalam dan seterusnya bermalam di lokap ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan mengesahkan siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan  Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya ia bagi dakwaan menyebabkan suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan dan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Polis juga merampas seunit telefon bimbit jenama iPhone XR dan kad sim siasatan ke atas tulisan yang disiarkannya di Facebook pada 7 April lalu. β€“ 12 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen