Pakar kesihatan kritik keperluan kelulusan Sirim bagi pelitup muka


Raevathi Supramaniam

Pakar kesihatan berkata kerajaan perlu memberi tumpuan menggalakkan orang ramai menggunakan sebarang pelitup muka bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2022.

KEPUTUSAN Putrajaya meletakkan syarat untuk kelulusan Sirim bagi pelitup muka bukan perubatan mendapat pelbagai reaksi pakar kesihatan dan kumpulan pengguna.

Pakar kesihatan berkata keperluan baharu itu tidak masuk akal kerana yang paling utama adalah menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka dengan sebarang jenis yang ada untuk mereka.

Kumpulan pengguna bagaimanapun berkata ini adalah langkah baik untuk memastikan pengguna menggunakan produk berkualiti tinggi tetapi mempersoalkan pelantikan Sirim.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata keperluan itu adalah tidak masuk akal dan membuang masa.

“Pelitup muka ialah pelitup muka, anda perlu membezakan antara produk pengguna komoditi dan produk perubatan,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

“Kita tidak menetapkan piawaian yang tinggi melainkan ia adalah untuk kegunaan perubatan, apabila doktor dan jururawat menggunakannya di bilik pembedahan dan wad.”

Tetapi pelitup muka pembedahan sudah berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), kata Lee.

“Jika anda mula melakukan pendaftaran Sirim untuk pelitup muka, anda menambah tahap pendaftaran tambahan yang berlebihan.

“Akhirnya, anda hanya menambah apa yang tidak perlu.”

Lee juga mempersoalkan sama ada arahan kerajaan adalah untuk menggunakan topeng muka berkualiti tinggi, adakah semua orang perlu menggunakan pelitup muka N95.

“Anda bercakap tentang pelitup muka yang tidak mempunyai kawalan kualiti, tetapi ini semua adalah dasar kesihatan awam. Jika anda memerlukan kualiti yang baik, maka patutkah kita katakan kita semua perlu memakai N95, di manakah kita perlu meletakkan sempadannya?

Akhirnya, sebarang pelitup muka adalah memadai untuk mencegah penularan (Covid-19), kata Lee.

Beliau menambah kerajaan sebaliknya perlu meluangkan masa untuk mengawal selia perkara lain.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan pelitup muka bukan perubatan diperlukan untuk mempunyai pensijilan Sirim pada 1 Januari 2023.

Kementerian berkata langkah itu bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan, sama ada keluaran tempatan atau import, mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Syarikat yang gagal mematuhi akan berdepan denda sehingga RM200,000, manakala individu (pengilang atau pengimport pelitup muka bukan perubatan) akan didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya akan dikenakan. – 13 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen