Nokia Finland umum keluar dari pasaran Rusia 


GERGASI telekomunikasi Finland, Nokia pada Selasa mengumumkan menarik diri sepenuhnya daripada pasaran Rusia susulan sekatan awal terhadap aktiviti penghantaran, perniagaan, penyelidikan dan pembangunan syarikat itu kerana operasi ketenteraan Rusia di Ukraine, lapor Sputnik.

“Sejak minggu lalu kami telah menghentikan penghantaran, perniagaan baharu dan memindahkan aktiviti R&D kami keluar dari Rusia. Kini kami umum akan keluar dari pasaran Rusia.

“Kami tidak menganggap keputusan ini akan memberi kesan kepada keupayaan syarikat untuk mencapai prospek kewangan 2022,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Nokia Corporation, sebuah syarikat transnasional Finland yang mengeluarkan peralatan telekomunikasi untuk rangkaian mudah alih, tetap, jalur lebar dan IP.

Pada 24 Februari, Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine menyebabkan negara-negara Barat dan sekutunya bertindak balas dengan mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Rusia. Banyak syarikat asing memutuskan untuk meninggalkan negara itu. – Bernama, 12 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen