PARTI pemerintah Afrika Selatan, ANC menamatkan rundingan tertutup awal pagi ini dengan keputusan menyingkirkan ketua negara yang terpalit skandal, Jacob Zuma.
Jawatankuasa Eksekutif Nasional (NEC) parti itu seramai 107 ahli yang sangat berkuasa bermesyuarat selama 13 jam di sebuah hotel di luar Pretoria, dan memutuskan akan “merehatkan” Zuma daripada jawatan presiden negara, lapor media tempatan.
Sebelum ini media negara itu, SABC melaporkan Zuma diberikan tempoh 48 jam untuk meletak jawatan.
“SABC percaya ANC memberikan Presiden Zuma 48 jam untuk letak jawatan,” lapornya.
Jika Zuma enggan meletak jawatan, jawatankuasa parti akan “merehatkan” ketua negara itu, bermaksud memaksanya meletakkan jawatan, walaupun menurut Perlembagaan negara dia tidak wajib mengikut arahan itu.
Sekiranya ini berlaku, dia mungkin akan disingkirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen dalam masa terdekat.
Sebuah lagi media, The Business Day melaporkan yang Zuma meminta “notis” tiga bulan untuk dia meletak jawatan tanpa syarat.
Pengumuman rasmi masih belum dikeluarkan dan pegawai ANC pula tidak dapat dihubungi untuk penjelasan. – AFP, 13 Februari, 2018.
Komen