UK siasat dakwaan serangan kimia Rusia di Ukraine


United Kingdom kini dalam usaha mendapatkan bukti mengenai dakwaan penggunaan senjata kimia oleh Rusia ketika membuat operasi ketenteraan di Mariupol, Ukraine. – Gambar EPA, 12 April, 2022.

BRITAIN dalam usaha untuk mengesahkan laporan yang Rusia telah menggunakan senjata kimia dalam serangan di bandar Mariupol, Ukraine, kata diplomat tertinggi London pada Isnin.

Pegawai Barat sebelum ini menyatakan kebimbangan yang Rusia mungkin menggunakan langkah yang lebih melampau, termasuk senjata kimia.

“Laporan tentera Rusia mungkin guna agen kimia dalam serangan ke atas penduduk Mariupol. Kami sedang bekerjasama segera dengan rakan kongsi untuk mengesahkan butiran,” tulis Setiausaha Luar United Kingdom (UK) Liz Truss di Twitter.

“Sebarang penggunaan senjata sedemikian akan meningkatkan lagi ketegangan konflik ini dan kami akan gesa (Presiden Rusia Vladimir) Putin dan rejimnya untuk bertanggungjawab.”

Ahli Parlimen Ukraine Ivanna Klympush berkata Rusia telah menggunakan “bahan tidak diketahui” di Mariupol selepas orang ramai dilaporkan mengalami masalah pernafasan. “Kemungkinan besar senjata kimia!” tulisnya di Twitter.

Melalui aplikasi Telegram, seorang pembantu Datuk Bandar Mariupol menulis serangan kimia “tidak disahkan buat masa ini”.

“Kami sedang tunggu maklumat rasmi daripada tentera,” tulis Petro Andryushchenko.

Terdahulu pada Isnin, batalion Azov Ukraine mendakwa sebuah dron Rusia telah menjatuhkan “bahan beracun” ke atas tentera dan orang awam di Mariupol.

Pasukan itu juga mendakwa orang ramai mengalami masalah pernafasan dan saraf.

“Tiga orang mempunyai tanda jelas keracunan oleh bahan kimia akibat peperangan, tetapi tanpa akibat teruk,” kata ketua batalion Andrei Biletsky dalam mesej video di saluran Telegramnya. Beliau menuduh Rusia menggunakan senjata kimia semasa serangan di loji metalurgi Azovstal di bandar itu.

Buat masa ini AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut. – AFP, 12 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen