Atlet Jepun positif ujian doping di Olimpik Musim Sejuk 2018


Kei Saito (kanan) dari Jepun mengambil bahagian dalam acara speed skating 1,500m lelaki semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018. – Gambar AFP, 12 Februari, 2018.

ATLET Jepun bagi acara speed skating, Kei Saito didapati positif ujian doping di Sukan Olimpik Pyeongchang, kata agensi berita Kyodo, memetik pelbagai sumber.

Saito, 21, gagal dalam ujian saringan untuk bertanding pada kejohanan itu, kata agensi pada Isnin lepas, memetik sumber tidak dinamakan.

Jika benar, ia merupakan kali pertama melibatkan atlet Jepun gagal dalam ujian doping pada Sukan Olimpik Musim Sejuk, kata lKyodo.

Ia berkata Jawatankuasa Olimpik Jepun dijadualkan mengadakan sidang akhbar pada Selasa berhubung isu itu.

Penganjur kejohanan berkata mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai laporan doping itu dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang ulasan.

Saito, pelajar jurusan biologi dan kakaknya Hitomi juga bertanding di Pyeongchang, merupakan seorang daripada ahli pasukan Jepun bagi acara berganti 3,000m yang menduduki tempat ketiga pada kejohanan remaja dunia 2013 dan 2014. – AFP, 12 Februari, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen