PUTRAJAYA dan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menandatangani satu lagi memorandum persefahaman (MoU) kerana kebanyakan masih banyak perjanjian yang dipersetujui masih belum jadi kenyataan, kata penganalisis.
Mereka mengulas keputusan kerajaan untuk menangguhkan pindaan perkara 10(3a) Perlembagaan Persekutuan dan merujuk pindaan dan penggubalan rang undang-undang (RUU) antilompat parti kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Penganalisis politik Cheah See Kian memberitahu The Malaysian Insight MoU kedua tidak diperlukan kerana yang pertama gagal mencapai tujuannya.
“Tidak perlu bekerjasama kerana setiap orang ada pandangan yang berbeza,” kata Cheah.
“Lebih baik buat pilihan raya daripada tandatangani satu lagi memorandum yang tidak berguna.”
Beliau percaya RUU antilompat parti belum diluluskan kerana kebanyakan jemaah Kabinet sendiri adalah “katak”.
“Ada yang melompat dari Umno ke Bersatu atau dari PKR ke Bersatu. Mereka sudah menjadi katak dan tidak akan menyokong pindaan sedemikian.
“Katak-katak ini secara semula jadi akan bimbang tentang masa depan mereka dan tidak mahu terperangkap dengan undang-undang baharu,” katanya.
Pengenalan RUU antilompat parti adalah sebahagian daripada MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan dengan PH pada 13 September lalu.
Di bawah perjanjian itu, kerajaan akan melakukan beberapa pembaharuan politik dan institusi sebagai balasan kepada sokongan pakatan pembangkang terhadap perdana menteri.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencadangkan Pakatan dan Putrajaya melanjutkan kerjasama dengan menandatangani MoU kedua dan menangguhkan seruan untuk buat Pilihan Raya Umum ke-15 akhir tahun ini.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata pelanjutan tarikh akhir MoU itu akan membolehkan Dewan Rakyat membentang dan meluluskan undang-undang penting bagi mengharamkan “lompat parti”, dan mungkin membuka jalan kepada undang-undang penting lain seperti RUU pembiayaan pembangunan kawasan pilihan raya yang akan mengharamkan diskriminasi pembiayaan terhadap ahli Parlimen Pembangkang.
Liew Wei Chern dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata penangguhan RUU itu tiada kena mengena dengan “katak”.
“Ini kerana mereka tidak yakin dengan takrifan yang ditafsirkan sebagai lompat parti. Syarat RUU awal terlalu luas.
“Jika definisi terlalu luas, ia akan beri terlalu banyak kuasa yang akan membawa kepada penyalahgunaan dan kelemahan.
“Pelbagai pihak juga menyuarakan tidak setuju mengenai takrifan luas RUU itu sebelum ini, sebab itu ia perlu ditangguhkan.”
Walaupun terdapat kelewatan dalam meluluskan RUU antilompat parti, Liew percaya Pakatan akan menandatangani satu lagi MoU dengan kerajaan.
“Ada tiga pilihan raya negeri dan situasi politik sekarang sudah berbeza. DAP juga baru-baru ini bertukar kepimpinan selepas pemilihan partinya manakala PKR akan melalui perkara yang sama bulan depan.
“Mereka perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan kepimpinan baharu.”
Penganalisis politik Wong Chin Huat juga berpendapat sebaik sahaja RUU antilompat parti diluluskan, ia akan membolehkan Pakatan menandatangani satu lagi MoU dengan Putrajaya.
“Jika orang ramai sokong, sudah tentu mereka boleh tandatangani satu lagi MoU,” katanya.
Semalam, menteri undang-undang dan parlimen Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk mengkaji dan memperhalusi tafsiran lompat parti dan mengkaji pemansuhan Artikel 48(6) dan undang-undang lain yang berkaitan.
www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/376238
Beliau berkata kedua-dua pihak juga telah bersetuju dengan jawatankuasa pilihan dua parti bagi memutuskan RUU antilompat parti dan akan dibentangkan di Parlimen pada Julai. – 12 April, 2022.
Komen