MENANTU perempuan Presiden Donald Trump, Vanessa dibawa ke hospital di New York pada Isnin sebagai langkah berjaga-jaga selepas menerima “pakej mencurigakan” yang mengandungi serbuk tidak dikenal pasti yang dihantar ke rumah keluarganya, kata polis.
Donald Trump Jr, menyebut kejadian itu “benar-benar menjijikkan”.
“Serbuk itu diuji dan didapati tidak berbahaya,” kata jurucakap polis kepada AFP.
Media AS melaporkan surat tersebut mengandungi serbuk putih.
“Nasib baik Vanessa & anak-anak saya selamat dan tidak apa-apa selepas situasi yang sangat menakutkan berlaku pagi ini,” tweet Donald Trump Jr.
“Ia sungguh menjijikkan yang sesetengah individu memilih untuk meluahkan pertentangan pandangan mereka dengan tingkah laku membimbangkan,” katanya.
Kakaknya, Ivanka, yang bekerja sebagai penasihat kepada presiden di White House, berkata beliau risau dengan apa yang berlaku kepada adik iparnya. “Tiada siapa sepatutnya ditakutkan dengan cara ini. Ia tidak boleh diterima,” katanya.
NBC News berkata Vanessa, ibu kepada lima anak, dibawa ke Pusat Perubatan Presbyterian-Weill Cornell New York sebagai langkah berjaga-jaga, mengatakan tiada sesiapa yang menunjukkan sebarang kecederaan dan tanda yang bahan itu berbahaya.
Suaminya Donald Trump Jr, dan saudara ipar Eric Trump, tinggal di New York dan menjalankan perniagaan hartanah keluarga, mengambil alih selepas ayah mereka dipilih sebagai presiden pada Januari 2017. – AFP, 12 Februari, 2018.
Komen