Hanya 5 lokap polis ada unit penjagaan kesihatan, kata Suhakam


Elill Easwaran

Unit penjagaan kesihatan di lokap menawarkan penjagaan kesihatan segera kepada tahanan dan sebagai cara mengatasi kematian dalam tahanan. – Gambar EPA, 11 April, 2022.

HANYA lima daripada lebih 400 lokap polis di negara ini mempunyai unit penjagaan kesihatan (CHU), kata Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Jerald Joseph hari ini. 

Daripada lima lokap itu hanya tiga mula mengendalikan CHU manakala dua lagi akan dimulakan tidak lama lagi.

CHU ditempatkan di lokap polis untuk menawarkan penjagaan kesihatan segera kepada tahanan dan sebagai cara mengatasi kematian dalam tahanan.

“Suhakam ingin memaklumkan bahawa tiga daripada lima CHU di lokap berpusat polis sudah mula beroperasi atas dasar projek,” kata Jerald dalam sidang media di pejabat Suhakam hari ini.

Beliau berkata lima lokap yang mempunyai CHU ialah lokap pusat polis di Bayan Baru (Pulau Pinang), Indera Mahkota (Pahang), Jinjang (Kuala Lumpur), Shah Alam (Selangor) dan Kepayan (Sabah).

“Kami masih bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan juga Bukit Aman bagi menubuhkan CHU di 400 lokap lain di negara ini.

“Pembiayaan sangat penting untuk menubuhkan CHU justeru Kementerian Kewangan perlu memainkan peranan sangat penting dalam hal ini,” katanya.

Menurutnya CHU terdiri daripada sepasukan kakitangan perubatan termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat yang akan memeriksa tahap kesihatan banduan semasa kemasukan dan sepanjang berada dalam tahanan polis.

Semalam negara mencatatkan kes kematian ke-14 dalam tahanan tahun ini apabila seorang tahanan berusia 42 tahun meninggal dunia dalam tahanan polis di Pahang.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad dalam satu kenyataan berkata lelaki itu meninggal dunia di lokap berpusat di Indera Mahkota.

Tahanan itu diberi ubat batuk kering petang semalam dan didapati tidak sedarkan diri kira-kira sejam kemudian, tambahnya.

Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kuantan dan disahkan meninggal dunia.

Tahanan itu dimasukkan ke lokap pada 21 Mac selepas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – 11 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen