Serba Dinamik gagal tangguh perintah mahkamah dedah kewangannya


MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menolak permohonan Serba Dinamik Holdings Bhd untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi supaya syarikat itu mendedahkan kepada umum maklumat terkini dapatan fakta (FFU) oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd mengenai kewangannya sementara menunggu rayuan selesai.

Serba Dinamik memohon penangguhan perintah itu sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Februari lepas yang mengarahkan syarikat minyak dan gas itu membuat pengumuman awam mengenai FFU oleh Ernst & Young Consulting.

Ernst & Young Consulting telah dilantik untuk menjalankan semakan bebas khas ke atas akaun kewangan Serba Dinamik untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2020, dalam masa dua hari pasaran.

Prosiding hari ini dijalankan secara maya di hadapan panel tiga hakim iaitu Lee Swee Seng, Hadhariah Syed Ismail dan Gunalan Muniandy.

Dalam keputusan sebulat suara, Lee, yang mengetuai panel hakim itu berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan Serba Dinamik untuk penangguhan perintah kerana syarikat itu tidak menunjukkan sebarang keadaan istimewa atau luar biasa untuk diberikan perintah penangguhan itu.

Beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa rayuan itu tidak akan bercanggah sekiranya Serba Dinamik berjaya dalam rayuannya.

Lee berkata peraturan Bursa Malaysia Securities Berhad mengenai pendedahan mengikat Serba Dinamik dan pemegang saham berhak mengetahui apa yang telah berlaku.

“Bursa tidak meminta pemohon (Serba Dinamik) bersetuju dengan kandungan laporan EY (Ernst & Young Consulting) dan pemohon mempunyai kebebasan untuk tidak bersetuju dengan laporan itu dan memaklumkan Bursa dalam pengumuman itu,” katanya sambil menambah bahawa ia adalah untuk orang ramai menilai.

Mahkamah memerintahkan Serba Dinamik membayar kos RM15,000 kepada Bursa.

Pengawal selia dan pengendali bursa pada 23 November 2021 memulakan tindakan undang-undang terhadap Serba Dinamik selepas syarikat itu gagal mematuhi arahan Bursa bertarikh 22 Oktober 2021 yang memerlukan syarikat itu mendedahkan penemuan penting FFU yang dibuat oleh Ernst & Young Consulting.

Serba Dinamik juga telah memfailkan tindakan terhadap Bursa dan Ernst Young Consulting, dalam usaha untuk menghalang mereka daripada mendedahkan FFU dan perkara berkaitan yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi lain.

Pada 14 Februari lepas, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Serba Dinamik untuk penangguhan perintah Mahkamah Tinggi supaya syarikat itu membuat pengumuman awam mengenai FFU.

Peguam Mah Lin Kum mewakili Serba Dinamik manakala peguam Loh Siew Cheang mewakili Bursa. Peguam Ng Jack Meng bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. – Bernama, 11 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen