Dr Mahathir pecah belah pengundi di Muar


Muzliza Mustafa

Wan Ali Wan Yusoh mengakui sukar membuat keputusan untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Februari, 2018.

Menuju Pilihan Raya Umum ke-14, The Malaysian Insight menyiarkan siri laporan mengupas kerusi-kerusi marginal. Pada bahagian kedua siri mengenai kerusi Parlimen Muar, kami menyelami keresahan pengundi yang berbelah bagi dengan kehadiran Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya kali ini.

WAN Ali Wan Yusoh telah mengundi dalam kesemua 13 pilihan raya umum (PRU) tetapi tiada satupun daripadanya yang menyakitkan kepalanya sebagaimana PRU14 yang akan datang.

Sakit kepala kerana pilihan yang ada di depan adalah antara gabungan pemerintah yang tercemar skandal, gabungan pembangkang yang diketuai oleh seorang pemimpin dengan sejarahnya sendiri dan sebuah parti Islam yang dilihat tidak sepakat.

Bukan lelaki berusia 76 tahun ini seorang saja yang keliru; pengundi lain pun keliru tentang parti mana yang akan jadi pilihan di kerusi Parlimen Muar, yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis 1,646 undi pada PRU13 lima tahun lalu.

Perasaan mereka mencerminkan tugas berat yang dihadapi Pakatan Harapan (PH) dalam menyakinkan pengundi untuk menerima pakatan itu selepas ia mengumumkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Bapa kepada empat anak ini dahulu pernah menjadi ahli Umno tetapi meninggalkannya ketika Dr Mahathir berkuasa.

“Saya mungkin mengundi BN jika Abdul Razak (Hussein) masih ada tetapi pentadbiran sekarang tidak mampu menangani masalah rakyat. Jadi, saya tidak tahu,” kata Wan Ali, ketika ditemui di program anjuran Amanah di Muar baru-baru ini.

“Sekarang ini, saya masih perlu bekerja untuk makan saya dan isteri. Apa maknanya itu?” kata Wan Ali mengenai hakikat yang walaupun pada usia lanjut, pencennya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan beliau dan isterinya.

Sentimen Wan Ali dikongsi oleh Fong, seorang peniaga yang memiliki kedai menjual barangan kitar semula.

“Jika anda bertanya kepada saya, kedua-duanya (BN dan PH) tidak bagus. Tidak pasti siapa yang akan saya pilih. Saya mungkin tidak mengundi,” kata Fong.

“Pembangkang terus berkerjasama dengan Dr Mahathir. Beliau sudah melakukan pelbagai perkara yang tidak baik di mata saya selama 22 tahun.

“Apa jaminan beliau tidak akan melakukan kesilapan yang sama dan melaksanakan peraturan yang sama? Mengenai kerajaan, saya tidak mempunyai apa-apa yang boleh dikatakan,” kata Fong.

Benteng Umno

Ariffin Jaafar tidak sanggup memperjudikan masa depannya dengan mengundi Pakatan Harapan dan akan terus bersama Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Februari, 2018.

Parlimen Muar mempunyai kira-kira 48,000 pengundi berdaftar. Ia mempunyai dua kerusi DUN – Maharani dan Sungai Balang.

Pada PRU13, Timbalan Menteri Razali Ibrahim berjaya mempertahankan Muar sebanyak 1,646 undi, merosot daripada majoriti yang dimenangi sebelumnya yang berjumlah 4,661 pada 2008 dan 13,415 pada 2004.

Ishak Abu Bakar daripada Amanah, berkata gabungan itu yakin dapat menawan Muar pada PRU14 berdasarkan sokongan menurun kepada BN dalam tiga pilihan raya lalu.

“Cabarannya adalah untuk mendapatkan lebih banyak undi Melayu,” kata Ishak daripada Amanah Bahagian Muar.

PH memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri berdasarkan kepercayaan beliau popular di kalangan orang Islam Melayu luar bandar.

Tetapi untuk mendapatkan sokongan Melayu Johor agar meninggalkan Umno bukanlah mudah kerana mereka terkenal sebagai penyokong kuat dengan sejarahnya sebagai tempat kelahiran Umno.

Pemandu teksi Ariffin Jaafar adalah contoh orang Johor yang cintakan Umno.

“Kami orang lama di Muar. Umno ada dalam darah kami. Sekiranya bapa menyokong Umno, anak-anak akan mengikutinya. Kami setia,” kata lelaki berusia 52 tahun itu.

“Umno dilahirkan di Johor dan kami sangat menghormati para pemimpin kami. Tambahan pula, Johor, pada umumnya, adalah kubu kuat Umno,” katanya.

Walaupun menghormati Dr Mahathir, yang memimpin Umno selama 22 tahun, Ariffin berkata beliau tidak akan memperjudikan masa depannya dengan PH.

“Aura Dr Mahathir boleh dirasai di kalangan orang Muar. Beliau adalah idola kami tetapi masalahnya beliau sudah berubah. Hakikatnya, Johor dimiliki oleh Umno,” kata Ariffin.

Sementara itu, kawannya, Zulkarnain Ismail, 41, tidak takut dengan perubahan.

Beliau melihat kehadiran Dr Mahathir dalam PH sebagai rahmat kepada gabungan itu.

“Kita perlukan perubahan. Ia sudah terlalu lama. Kita lihat bagaimana kerajaan seterusnya memimpin negara. Kita patut memberi mereka empat tahun,” kata Zulkarnain, sambil menambah BN gagal menjaga keperluan rakyat. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen