Pakatan hanya perlukan 5% untuk tawan Muar


Muzliza Mustafa

Pakatan Harapan hanya memerlukan tambahan sebanyak 5% daripada pengundi Melayu bagi memastikan kerusi Parlimen Muar menjadi miliknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Februari, 2018.

The Malaysian Insight sedang menerbitkan siri mengenai kerusi Parlimen marginal menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Pada bahagian pertama siri kali ini yang mengupas kedudukan di Muar, aktivis Pakatan Harapan percaya mereka memerlukan sedikit undi Melayu untuk memenangi kerusi Parlimen itu.

PAKATAN Harapan percaya ia hanya memerlukan sekurang-kurangnya lima peratus saja pertambahan undi Melayu untuk menawan kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berdasarkan data pengundian daripada PRU13, 5% diterjemahkan kepada kira-kira 1,485 undi.

Analisis itu berdasarkan pada trend pengundian tiga pilihan raya umum lalu yang menunjukkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) yang semakin menurun sejak ia memegang kerusi itu pada 1974.

Aktivis PH seperti Norhayati Bachok menganggapnya tidak mustahil dengan penerimaan hangat yang diterimanya di kampung-kampung penyokong tegar BN.

“Mereka membenarkan kami masuk dan itu adalah satu petanda yang baik. Kami juga menerima maklum balas yang baik daripada peniaga pasar tani dan pelawat ketika kami mengadakan lawatan di sana,” kata ketua Wanita Amanah Johor itu.

Ahli jawatankuasa Amanah Muar, Ishak Abu Bakar optimis dengan kemungkinan peluang trend mengundi yang akan diterima gabungan itu.

“Pada PRU 13, kami menerima 80% undi daripada pengundi Cina dan hanya sekitar 38% hingga 45% sahaja daripada pengundi Melayu,” kata guru bersara berusia 62 tahun itu.

 “Kami memerlukan 5% atau lebih sedikit untuk mengalahkan BN,” kata Ishak.

Tetapi Ishak tahu orang Melayu Johor adalah penyokong kuat BN, terutamanya Umno.

Umno dilahirkan di Johor, ketika lebih 40 pertubuhan Melayu mengadakan perhimpunan agung tahunan pertama parti itu di Johor Baru.

Ketua Wanita Amanah Johor, Norhayati Bachok optimis dengan peluang Pakatan Harapan untuk menawan Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Februari, 2018.

Tahap sokongan Umno di kalangan orang Melayu di luar bandar Melayu sangat tinggi walaupun pada PRU13, ketika Pakatan Rakyat (PR) memperoleh keputusan pilihan rayanya yang terbaik, hanya segelintir calon PR di kawasan timur JOHOR hilang wang deposit pilihan raya.

Ishak berkata menjelang PRU14, pesaing PH menakutkan orang Melayu Johor dengan mengatakan DAP, rakan kongsi Amanah dalam PH, akan mentadbir negara jika pakatan pembangkang menang.

“Kita perlu berjumpa dan menjelaskan struktur kita kepada mereka. Kita perlu memberitahu mereka mengenai Perlembagaan persekutuan,” katanya.

Kerusi Parlimen Muar merangkumi separuh daripada bandar diraja ini, yang juga bandar kedua terbesar di Johor. Pada PRU13, ia mempunyai 48,208 pengundi berdaftar.

Pada pilihan raya umum lima tahun lalu, Timbalan Menteri Razali Ibrahim berjaya mempertahankan Muar dengan 1,646 majoriti undi, merosot berbanding majoriti dimenanginya sebelum itu iaitu 4,661 pada PRU12 (2008) dan 13,415 pada PRU11 pada 2004.

Pengundi Muar adalah 62% Melayu, 35% Cina dan 1% India. Kawasan parlimen ini dibentuk oleh dua kerusi DUN iaitu Maharani dan Sungai Balang.

Pada PRU13, Maharani yang mempunyai 55% pengundi Melayu dan 42% pengundi Cina dimenangi oleh PAS ‘Mohammad Taslim dengan 3,136 undi. Pada masa itu, PAS berada dalam PR bersama-sama PKR dan DAP.

Sungai Balang, yang diwakili 72% Melayu, berjaya dipertahankan oleh BN dengan 1,635 undi.

Walaupun PAS, yang kini menjadi pesaing PH juga dijangka meletakkan calon, Ishak berkata ia tidak akan menjejaskan peluang PH, tidak seperti di bahagian lain negara.

“Kami percaya undi untuk BN akan berkurangan sementara PAS hanya akan mendapat undi daripada penyokong tegar dan kami percaya ia tidak akan menjadi lebih daripada 5,000 undi,” kata Ishak.

Ketua Pemuda Umno Muar, Mohd Radzi Amin yakin Barisan Umno akan berjaya mempertahankan Muar berdasarkan sentimen pengundi Melayu yang tidak akan menerima parti Melayu lain selain Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Februari, 2018.

Norhayati berkata Muar dijangka akan dipertandingkan oleh komponen PH Bersatu, manakala Amanah meletakkan calon bagi Maharani dan PKR di Sungai Balang.

Sementara itu, Umno yakin akan mempertahankan kerusi itu. Aktivis Umno Muar, Mohd Radzi Amin berkata parti itu mungkin akan mendapat 60% daripada semua undi.

“Penurunan undi pada pilihan raya umum lepas adalah kerana beberapa calon tidak disenangi oleh penduduk tempatan.”

Beliau berkata akan terdapat peningkatan sokongan sekiranya tiada pertelingkahan di kalangan parti itu dan ia diisi calon yang boleh menang.

Radzi berkata BN masih dijangka akan menerima sambutan yang baik di kalangan orang Melayu Muar.

“Seperti di Sungai Balang, 70% penduduk adalah Melayu. Orang Melayu di Muar tidak bersedia untuk membenarkan parti Melayu lain selain Umno untuk memenangi kerusi,” katanya.

Walaupun beliau tidak merujuk sebarang nama, Radzi mungkin merujuk kepada parti komponen berasaskan Melayu, Bersatu. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen