RATU Elizabeth II yang bakal mencecah usia 96 tahun bercakap mengenai kepenatan serius selepas dijangkiti Covid-19 pada Februari lalu, walaupun pembantunya menggambarkan keadaan baginda tidak serius.
Pada masa itu, Istana Buckingham memaklumkan Ratu Britain yang sudah menerima vaksin hanya mengalami gejala ringan seperti selsema.
Namun, Ratu Elizabeth terpaksa membatalkan beberapa siri temujanji bersama diplomat asing, ketika rekod 70 tahun baginda di atas takhta bermula.
Ratu Elizabeth mengimbas kembali pengalaman itu Rabu lalu, ketika berbual dengan kakitangan dan pesakit melalui pautan video semasa merasmikan pembukaan unit hospital yang bersempena nama baginda di timur London.
Bercakap kepada seorang bekas pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan ventilasi, baginda berkata virus itu serius: “Ia membuatkan seseorang sangat letih dan penat, bukan?”
“Pandemik yang dahsyat ini. Ia bukan sesuatu yang bagus,” kata baginda menurut rakaman yang dikeluarkan istana pada semalam.
Unit baharu di Hospital Diraja London itu dibina dalam masa singkat untuk menghadapi kemasukan penghidap Covid-19.
Pasukan pembinaan memuji “semangat Dunkirk” yang memberi inspirasi kepada mereka, merujuk pengunduran tentera British dan sekutu Perang Dunia Kedua dari utara Perancis, dalam menghadapi serangan Nazi.
“Syukurlah ia masih wujud…ia sangat menarik bukan, apabila terdapat beberapa perkara yang sangat penting, bagaimana semua orang bekerja bersama-sama dan tertarik bersama, menakjubkan, bukan?” kata baginda.
Kebimbangan terhadap kesihatan Ratu Elizabeth II dirasai sejak baginda terpaksa dimasukkan ke hospital pada Oktober lalu, yang mana hanya didedahkan pihak istana kemudiannya.
Penampilan di khalayak ramai semakin jarang sejak itu dan baginda mengadu tentang masalah mobiliti ketika ulang tahun ke-96 baginda semakin dekat iaitu 21 April.
Ratu Elizabeth juga tidak akan menghadiri upacara keagamaan pada Khamis Suci minggu ini dan akan diwakili anak sulung dan pewaris takhta, Putera Charles. – AFP, 11 April, 2022.
Komen