CHINA menyelar Amerika Syarikat (AS) kerana membuat tuduhan tidak berasas berkenaan dasar Covid-19 China, susulan lonjakan kes jangkitan di Shanghai yang menyebabkan konsulat AS mengarahkan sebahagian kakitangannya keluar dari bandar mega yang kini dikenakan perintah berkurung.
Strategi Covid-sifar Beijing mengalami tekanan sejak Mac apabila lebih 100,000 kes dikesan di Shanghai, menyebabkan 25 juta populasinya terpaksa dikenakan perintah berkurung secara berfasa, mencetuskan aduan berkenaan kekurangan bekalan makanan dan pertembungan dengan kakitangan kesihatan.
Kedutaan AS pada Sabtu berkata ia membenarkan kakitangan tidak penting meninggalkan konsulat di Shanghai susulan lonjakan kes Covid-19, memberi amaran kepada warga AS di China berkenaan perkara itu.
Beijing meluahkan rasa tidak berpuas hati dan bantahan terhadap tuduhan AS yang tidak berasas mengenai dasar kawalan epidemik China, menurut satu kenyataan dikeluarkan pada Sabtu.
“Ini keputusan AS sendiri. Namun perlu dinyatakan iaitu dasar kawalan epidemik China adalah saintifik dan berkesan,” kata jurucakap Kementerian Luar Zhao Lijian.
“Kami yakin Shanghai dan kawasan lain akan mengatasi masalah ini.”
China berpegang kepada dasar perintah berkurung segera, ujian saringan besar-besaran dan sekatan perjalanan untuk mengekang penularan virus ketika kes harian di Shanghai melonjak susulan gelombang Omicron.
Hab perniagaan itu melaporkan 24,943 kes baharu semalam – kebanyakannya tidak bergejala.
Pihak berkuasa menyediakan puluhan ribu katil baharu di lebih 100 hospital sementara sebagai sebahagian dasar isolasi setiap individu yang didapati positif virus itu – sama ada mereka mengalami gejala atau tidak.
Penduduk tempatan mulai berang dengan sekatan perintah berkurung. – AFP, 11 April, 2022.
Komen