MAHKAMAH Jermah mendapati Facebook telah melanggar peraturan perlindungan data dengan menggunakan tetapan privasi sekali gus dikongsi secara asal selain memohon pengguna memberikan nama sebenar, kata sebuah organisasi hari ini.
Di bawah undang-undang Jerman, maklumat peribadi hanya boleh direkod dan digunakan oleh syarikat tertentu dengan persetujuan individu.
Namun, hakim Berlin memutuskan yang Facebook membiarkan aturannya, gagal memberikan pengguna pilihan bagaimana data mereka digunakan, kata plaintif Federation of German Consumer Organisations (VZBV).
“Facebook menyembunyikan aturan asalnya yang bukan bersifat mesra-peribadi dalam tetapan privasinya, selain tidak memberikan maklumat lengkat mengenai ini apabila pengguna mendaftar,” kata pakar perundangan VZBV Heiko Duenkel.
Hakim mendapati lima tetapan privasi asal tidak sah, termasuklah perkongsian data lokasi, atau membuatkan profail boleh dijumpai di enjin pencarian luar, langsung membenarkan pengguna internet mudah menjumpai pengguna Facebook.
Mahkamah turut memutuskan yang lapan perenggan syarat Facebook tidak sah, terutamanya berkaitan hal pengguna harus menggunakan nama betul dalam media sosial.
Namun ia tidak selari dengan slogan “Facebook bebas dan selamanya akan bebas.”
Facebook berkemungkinan akan dikenakan denda sebanyak RM1,205,630 (AS$306,000) untuk setiap pelanggaran jika ia tidak memperbetulkan syaratnya di Jerman.
Bagaimanapun Facebook berkata, mereka akan membuat rayuan.
“Syarat perkhidmatan dan produk kami telah berubah sejak bermulanya kes ini. Tahun ini kami sedang membuat perubahan syarat penggunaan dan garis panduan perlindungan data, bersesuaian dengan perubahan dalam perundangan kelak,” kata jurucakapnya kepada AFP.
Jerman merupakan pasaran terbesar Facebook di Eropah dengan lebih kurang 30 juta daripada 80 juta penduduk mendaftar dengan Facebook, selain hampir 23 juta menggunakannya setiap hari. – AFP, 12 Februari, 2018.
Komen