Tidak sanggup tanggung rugi, peniaga nekad jual ayam lebih harga siling


Diyana Ibrahim

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan harga siling ayam RM8.90 sekilogram.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

PENIAGA ayam menyalahkan pemborong yang menjual ayam kepada mereka pada harga yang mahal sehingga memaksa mereka menjualnya pula kepada pengguna lebih daripada harga siling.

Peniaga ayam yang disaman RM500 di Pasar Chabang Tiba, Kuala Terengganu minggu lalu berkata mereka tiada pilihan apabila meletakkan harga RM10 atau RM11 bagi sekilogram ayam kerana pembekal pun menjualnya RM8.70 kepada mereka.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling ayam RM8.90 sekilogram.

Peniaga Zulfakrul Amin, 35, berkata tidak masuk akal apabila kerajaan meminta mereka menjual ayam dengan untung hanya 20 sen bagi setiap kilogram.

“Saya tak rasa mana-mana peniaga boleh menjual dengan hanya untung 20 sen.

“Saya rasa sanggup kena saman daripada dapat 20 sen… kalau dikali dengan 100 kilogram ayam yang setiap hari saya jual, adalah dalam RM20 sahaja kita untung,” katanya.

Zulfakrul perkara itu sangat membebankan peniaga yang turut berdepan dengan kos operasi seperti upah pekerja, plastik dan ais sehingga RM200 setiap hari.

“Saya akan tetap jual ayam RM10 sekilogram sebab bagi saya zalimlah untuk peniaga… nak suruh kami jual dengan harga siling.

“Sepanjang 10 tahun saya berniaga tak pernah lagi kita nak ambil untung 20 sen. Memang margin kita tetapkan sebanyak RM1 hingga RM1.50 ini sejak 10 tahun lepas yang patut kita naik juga kalau semua kos naik.

“Tapi kita tidak naikkan margin kita dan sekarang ini peniaga disalahkan,” luahnya.

Satu rakaman video pendek tular di media sosial Khamis lalu menunjukkan seorang peniaga ayam di Pasar Chabang Tiga dikenakan kompaun serta-merta oleh pegawai penguatkuasa KPDNHEP Terengganu.

Dalam video itu, peniaga berkenaan meluahkan rasa kecewa kerana duit saman RM500 itu sepatutnya dipakai untuk membeli baju raya anaknya.

KPDNHEP dalam satu kenyataan menjelaskan pihak mereka menyaman 11 peniaga termasuk seorang pemborong dalam operasi besar-besaran memantau pelaksanaan harga siling barangan terkawal.

Menurut KPDHEP, semua peniaga yang dikompaun gagal mengemukakan bukti yang mereka membeli ayam lebih daripada harga yang ditetapkan pada peringkat pemborong.

Harga siling tidak munasabah

Dalam pada itu, Zulfakrul berkata pihak berkuasa sepatutnya memantau penternak atau pengeluar kalau betul mahu mengawal harga ayam.

Katanya, harga siling yang ditetapkan kerajaan tidak lagi relevan kerana kos barang dan bahan mentah melambung tinggi.

Zulfakrul tidak menolak kemungkinan pembekal mencatu stok ayam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti mana pernah berlaku pada hujung Mac.

“Saya rasa harga kawalan itu lama sangat, tak padan dengan kenaikan barang, bahan mentah sekarang. Bagi saya kementerian kena ambil tindakanlah kalau betul nak kawal harga pergilah pantau dekat ladang, penternak.

“Isu pasal harga ayam naik bukanlah baharu sebenarnya, lama dah… masa hujung Mac berlaku catuan ayam dua minggu di negeri ini.

“Peniaga ini dah nampak bayangan senario yang mungkin akan berlaku lagi semasa Hari Raya Aidilfitri. Kalau betul ia berlaku nanti siapa kita nak salahkan,” katanya.

Sementara itu seorang lagi peniaga yang mahu dikenali dengan nama Faizal, 42, juga tekad menjual ayam RM10 sekilogram biarpun tahu risiko disaman sekali lagi.

Beliau menafikan dakwaan pihak KPDNHEP kononnya mereka gagal menyerahkan bukti pembelian ayam pada harga tinggi kerana resitnya sudah diberi kepada pegawai berkenaan.

“Saya nak takut apa nak saman saya, kita bagi resit pembelian kita hari itu.

“KPDNHEP pun tahu masalah ini peniaga sebab perkara ini dah lama berlaku, dari dulu lagi tak pernah selesai. 

“Bagi saya harga siling itu tak munasabah langsung dengan harga modal pembelian ayam kita,” katanya, yang menggunakan duit modal perniagaannya untuk membayar kompaun minggu lalu.

Menurut Faizal, pegawai KPDNHEP sebelum ini menasihati mereka supaya meletakkan tanda harga siling tetapi pada masa sama mereka boleh menjual pada harga yang sepatutnya.

“Pembeli datang mereka tengok papan tanda harga RM8.90 tapi kita cakap RM10, jadi yang disalahkan kita sedang peniaga dah jelaskan situasi ini awal-awal,” katanya.

Sementara itu, peniaga Khairul Shaffiq, 31, isu tidak mengemukakan resit pembelian sepatutnya tidak timbul kerana pihak kementerian tahu harga ayam yang mereka ambil daripada pembekal.

Beliau kesal apabila sekarang hanya peniaga disalahkan sedangkan penguatkuasaan sepatutnya menyeluruh termasuk di peringkat pengeluaran ladang.

“Kita hari itu tanya kepada pegawai KPDNHEP mereka tahu tak yang peniaga ini ambil ayam berapa. Mereka kata tahu… sebab itu kita rasa resit ini tak perlu sebab mereka tahu.

“Ia menzalimi peniaga, macam kita tak ada keluarga nak tanggung. Bukannya kami ambil ayam itu harga RM5 kemudian jual RM10,” katanya.

Khairul berkata kerajaan perlu lebih serius untuk mencari jalan penyelesaian dan mengkaji dari semua sudut dan sektor berkaitan pengeluaran ayam bagi menangani isu itu.

“Jika tidak harga akan naik sahaja. Ini pun kita dengar harga daging akan naik nak dekat raya ini.

“Kalau naik biasanya dalam RM2, macam saya jual RM34 sekilogram maknanya akan jadi RM36 lah,” katanya. – 11 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen