WASHINGTON akan “mengenakan syarat baharu” dalam rundingan untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015, kata menteri luar Iran hari ini.
“Mengenai isu penarikan sekatan, mereka (Amerika Syarikat) berminat untuk mencadangkan dan mengenakan syarat baharu di luar rundingan,” kata Hossein Amir-Abdollahian dipetik sebagai berkata agensi berita IRNA.
“Dalam dua atau tiga minggu lepas, pihak AS telah membuat tuntutan berlebihan yang bercanggah dengan beberapa perenggan teks itu,” tambahnya.
Iran terlibat secara langsung dalam rundingan selama setahun bersama Perancis, Jerman, Britain, Russia dan China serta tidak langsung dengan Amerika Syarikat di ibu negara Austria bagi memulihkan perjanjian itu yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
“AS terus bercakap tentang keperluan untuk rundingan langsung, tetapi kami tidak melihat faedah perbincangan langsung dengan mereka,” kata Amir-Abdollahian.
Perjanjian 2015 memberikan kelegaan sekatan kepada Iran sebagai pertukaran untuk mengekang program nuklearnya bagi menjamin Tehran tidak dapat membangunkan senjata nuklear – sesuatu yang sentiasa dinafikan ia mahu lakukan.
Tetapi penarikan secara unilateral AS daripada perjanjian itu pada 2018 di bawah presiden ketika itu, Donald Trump dan pelaksanaan semula sekatan ekonomi mendorong Iran untuk mula membatalkan komitmennya sendiri.
“Kami memohon penarikan sekatan, tetapi dengan maruah dan perjanjian yang berkekalan,” kata menteri luar negeri itu, sambil menambah: “Iran sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan”.
Rundingan Vienna bertujuan untuk mengembalikan AS kepada perjanjian nuklear, termasuk melalui penarikan sekatan ke atas Iran, dan untuk memastikan Tehran mematuhi sepenuhnya komitmennya.
Namun, ia ditangguhkan sejak 11 Mac lalu selepas Russia menuntut jaminan sekatan Barat yang dikenakan berikutan pencerobohan 24 Februari ke atas Ukraine tidak akan merosakkan perdagangannya dengan Iran.
Beberapa hari kemudian, Moscow berkata mereka telah menerima jaminan yang diperlukan. – AFP, 10 April, 2022.
Komen