SEORANG tahanan berusia 42 tahun meninggal dunia dalam lokap di Pahang. Ini merupakan kes kematian tahanan ke-14 direkodkan negara tahun ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tahanan tersebut meninggal dunia di lokap berpusat Indera Mahkota semalam.
Beliau berkata, tahanan berkenaan diberi ubat batuk kering petang semalam dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira sejam kemudian.
Tahanan kemudian dibawa ke Hospital Kuantan dan disahkan meninggal dunia.
Dia dibawa ke lokap pada 21 Mac selepas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tahanan tersebut dijadualkan menghadiri satu lagi perbicaraan esok selepas didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.
Azri berkata unit siasatan kematian tahanan Bukit Aman akan menyiasat kes itu. – 10 April, 2022.
Komen