3 lelaki tempatan ditahan terlibat penipuan dalam talian


TIGA lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru di Kuala Lumpur petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata serbuan pada pukul 2.50 petang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil itu, turut merampas antaranya tiga unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, satu unit modem dan satu monitor komputer.

“Semua suspek, berusia antara 19 hingga 23 tahun, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Dellhan, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan penduduk tempatan serta warga asing menerusi aplikasi TikTok.

“Semua suspek ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” katanya. – Bernama, 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen