PM Australia umum pilihan raya 21 Mei


Perdana Menteri Australia Scott Morrison bergelut dengan rasa tidak percaya rakyat negara itu kepada pentadbirannya. – Gambar AFP, 10 April, 2022.

PERDANA Menteri Australia Scott Morrison mengumumkan pilihan raya persekutuan pada Ahad, 21 Mei, seterusnya memulakan usaha untuk terus kekal berkuasa selepas tiga tahun pentadbiran diselebungi isu banjir, kebakaran dan pandemik Covid-19.

Kerajaan konservatif Morrison bergelut untuk meraih undi 17 juta pengundi Australia, ketinggalan di belakang pembangkang, Parti Buruh, dalam siri tinjauan suara awam walaupun berjaya memulihkan ekonomi dengan kadar pengangguran terendah dalam tempoh 13 tahun.

“Ia adalah pilihan antara masa depan kukuh dan tidak pasti. Ia adalah pilihan antara kerajaan yang anda kenal dan pembangkang Buruh yang anda tak kenal,” kata Morrison pada satu sidang media di Canberra.

Tinjauan suara menunjukkan ramai pengundi tidak lagi mempercayai pemimpin berusia 53 tahun itu, yang menampakkan imejnya sebagai lelaki berkeluarga Australia yang tidak gentar menunjukkan pegangan agamanya, Kristian Pentecostal.

Lawannya yang mahu menamatkan pentabiran Parti Liberal-Nasional adalah pemimpin Parti Buruh berusia 59 tahun, Anthony Albanese.

Pemimpin pembangkang itu memulakan kempen enam minggu sebelum pilihan raya dengan mengeluarkan mesej penuh optimis sebelum menyelar karakter Morrison dan pentadbirannya.

Tinjauan suara terkini dibuat Newspoll menunjukkan Buruh mendahului dengan 54% berbanding kerajaan semasa, 46%. – AFP, 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen