Pakatan sedia teroka kerjasama dengan Bersatu, lapor media


Kerjasama itu bagaimanapun pada masa ini tidak berbangkit, tetapi PH tidak menutup pintu rundingan dengan Bersatu, kata Saifuddin Nasution. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2022.

PAKATAN Harapan sedia meneroka kemungkinan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) bagi mengelak pertembungan banyak penjuru, kata Ketua Setiausahanya Saifuddin Nasution.

Kerjasama itu bagaimanapun pada masa ini tidak berbangkit, katanya, tetapi PH tidak menutup pintu rundingan dengan Bersatu.

“Buat masa ini tidak berbangkit. Sama sekali tidak berbangkit, tetapi tidak bermakna tutup pintu sepenuhnya, sebab pendekatan politik PKR adalah bersedia untuk meneroka sebarang potensi kerjasama dalam apa jua bentuk.

“Kalau tidak dapat dalam bentuk kerjasama, mungkin boleh buat persefahaman politik, ada banyak cara kita boleh buat,” katanya, seperti dipetik Mingguan Malaysia.

Isu kerjasama blok pembangkang berbangkit selepas penguasaan mutlak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, yang juga menyaksikan undi kepada parti-parti pembangkang yang berpecah.

Awal bulan ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata beliau mengambil inisiatif bertemu pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang untuk merintis kerjasama dalam PRU15.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas Presiden Pejuang Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin berjumpa dengannya meminta sokongan untuk sekali lagi jadi perdana menteri.

Muhyiddin menjelaskan pertemuannya dengan Dr Mahathir, yang berlangsung beberapa hari selepas PRN Johor, adalah sebahagian daripada usaha menggembleng kerjasama parti-parti politik.

Pertemuan itu juga diatur selepas seorang pemimpin kanan Pejuang datang menemuinya. Muhyiddin tidak menamakan pemimpin berkenaan. – 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen